Oleh Syahmi Hassan
STUTTGART – Dr Ing. h.c. F. Porsche AG (Porsche) telah menamatkan tahun kewangan 2022 dengan mencatat empat rekod baharu. Hasil jualan kumpulan pada tahun 2022 berjumlah 37.6 bilion euro, iaitu pertumbuhan sebanyak 13.6 peratus, berbanding dengan 33.1 bilion euro pada 2021.
Keuntungan operasi kumpulan mencecah 6.8 bilion euro, melebihi angka tahun sebelumnya sebanyak 1.5 bilion euro (peningkatan sebanyak 27.4 peratus).
Menurut kenyataan daripada Porsche, penghantaran kumpulan dan aliran tunai bersih automotif juga mencapai paras tertinggi baharu sepanjang masa pada tahun 2022.
Manakala pulangan jualan operasi Kumpulan meningkat daripada 16 peratus kepada 18 peratus.
Pada tahun ini, pengeluar kereta sport Stuttgart itu meneruskan strategi modennya dan telah memulakan program Road to 20 untuk memastikan matlamat keuntungan jangka panjangnya dicapai.
“Dalam keadaan yang sukar, kami mencapai keputusan paling kukuh dalam sejarah Porsche,” kata Pengerusi Lembaga Eksekutif, Oliver Blume.

“Kami juga dapat menawarkan pelanggan kami produk baharu yang menarik sekali lagi pada tahun 2022. Ini adalah hasil usaha pasukan yang hebat.”
Porsche AG mempunyai buku pesanan yang lengkap dan mampu menghantar 309,884 kenderaan kepada pelanggan pada tahun sebelumnya, walaupun berhadapan kesan peperangan di Ukraine, cabaran pandemik COVID dan gangguan rantaian bekalan global.
Ia sejajar dengan peningkatan sebanyak 2.6 peratus berbanding tahun 2021 (301,915 buah kenderaan).
Pada tahun kewangan 2022, aliran tunai bersih automotif meningkat daripada 3.7 bilion euro kepada 3.9 bilion euro.
“Faktor kejayaan kami adalah kedudukan harga yang lebih baik, campuran produk yang kukuh, peningkatan dalam jualan kenderaan, kesan kadar pertukaran dan disiplin kos kami yang ketat,” kata Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Eksekutif Kewangan dan IT, Lutz Meschke.