Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Porsche hantar lebih 68,000 kenderaan Q1 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Dalam suku pertama (Q1) 2022, Porsche telah menghantar 68,426 unit kenderaan kepada para pelanggannya di serata dunia.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Porsche, di sini, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Ahli Lembaga Eksekutif bagi Pemasaran dan Jualan di Porsche AG, Detlev von Platen dipetik menyatakan bahawa di sebalik keadaan luar biasa yang menjejaskan industri automotif yang lebih luas, pasukan jualan dan penjual mencatat prestasi baik dalam suku pertama.

    Beliau menambah kemunculan koronavirus di beberapa rantau seperti China serta cabaran logistik dan bekalan yang berterusan, telah menguji ketahanan syarikat.

    Pada masa yang sama, ulasnya, produk mereka terus mendapat permin-taan yang tinggi di kalangan pengguna di seluruh dunia terutamanya di Eropah, Amerika dan China.

    Model SUV Porsche menerima permintaan tertinggi daripada pelanggan di seluruh dunia. – Gambar serahan Porsche Brunei

    Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa pelbagai cabaran yang di-hadapi oleh pembuat kereta sport di pelbagai rantau dunia, memberikan gambaran yang berlainan daripada segi penghantaran.

    Di Eropah, Porsche menyerahkan 22,791 kenderaan dalam suku pertama, menandakan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 18 peratus di sebalik perangkaan yang kukuh dalam tempoh yang sama pada 2021.

    Selain itu, jumlah tersebut juga meningkat dalam pasaran Jerman dengan penghantaran 6,925 kenderaan yang menunjukkan peningkatan 16 peratus.

    Di China pula, pasaran tunggal terbesar bagi Porsche, pembuat kereta sport berkenaan telah menghantar 17,685 kenderaan. Namun penularan koronavirus baharu dikaitkan dengan penutupan pusat-pusat Porsche di beberapa rantau serta cabaran logistik mengakibatkan penurunan 20 peratus dalam penghantaran.

    Secara keseluruhannya, sebanyak 28,991 kenderaan telah dihantar kepada pelanggan Porsche di rantau Asia-Pasifik, Afrika dan Timur Tengah. Porsche mencatatkan suku pertama paling kukuh di rantau Asia Pasifik dengan peningkatan 23 peratus dalam penghantaran pada suku pertama 2022 berbanding tahun sebelumnya, walaupun penghantaran suku pertama 2021di rantau berkenaan mencatatkan jumlah tertingginya.

    Sementara itu, sebanyak 13,042 kenderaan Porsche telah dihantar di Amerika Syarikat walaupun berdepan isu-isu transit dan bekalan yang menjejaskan pelbagai jenama automotif.

    Permintaan terbanyak adalah bagi model SUV Porsche di mana Porsche Cayenne telah dihantar kepada 19,029 pelanggan, diikuti model Macan sebanyak 18,329, Porsche Taycan 9,470 unit dan ikon kereta lumba, 911, dihantar kepada 9,327 pelanggan di seluruh dunia.

    Manakala 7,735 unit Panamera dihantar kepada pelanggan dan 718 Boxster dan 718 Cayman mencatat 4,536 penyerahan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...