Porsche kekal antara pembuat kereta paling untung di dunia

Oleh Syahmi Hassan

STUTTGART, 4 NOV – Meskipun berdepan krisis semikonduktor global, Porsche tetap mencatatkan prestasi baik apabila pengeluar kereta sport yang berpangkalan di Stuttgart itu mencapai pulangan jualan sebanyak 15.5 peratus pada penghujung suku ketiga 2021.

Hasilnya itu sekali lagi melebihi tanda aras 15 peratus, mengekalkan Porsche sebagai salah satu pembuat kereta paling menguntungkan di dunia. Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, hasil jualan meningkat 19.1 peratus kepada 23.1 bilion euro (tahun sebelumnya 19.4 bilion euro).

Menurut Porsche, keuntungan operasi dalam tempoh itu ialah 3.6 bilion euro (tahun sebelumnya 2 bilion), peningkatan sebanyak 78.4 peratus berbanding 2020.

Bagi tempoh yang sama tahun lepas, pulangan jualan ialah 10.4 peratus pada akhir September.

“Kami boleh berbangga dengan prestasi kami, tetapi kami juga mesti bertindak dalam mod pasukan petugas yang mutlak pada suku keempat,” kata Timbalan Pengerusi Lembaga Eksekutif dan ahli Lembaga Eksekutif Kewangan dan IT di Porsche AG, Lutz Meschke.

“Kami telah mencapai keputusan yang baik dalam masa yang mencabar. Ini sebahagiannya disebabkan kereta-kereta utama kami seperti 911 dan Taycan, yang menarik minat orang di seluruh dunia. Tetapi kami juga telah memperketatkan lagi pengurusan kos kami yang sudah pun ketat,” tambahnya.

Sejak awal tahun ini, Porsche telah menghantar 217,198 kenderaan kepada pelanggannya di seluruh dunia. Ini adalah 13 peratus lebih banyak daripada sembilan bulan pertama tahun sebelumnya.

“Taycan ialah kenderaan yang sangat inovatif dan popular dalam kalangan pelanggan kami. Peralihan awal kami kepada strategi e-mobiliti membuahkan hasil,” kata Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche AG, Oliver Blume.

“Permintaan yang kukuh untuk model kami menunjukkan bahawa kami berada pada kedudukan yang ideal dengan rangkaian produk kami yang menarik,” tambahnya.

Sejak awal tahun ini, Porsche telah menghantar 217,198 kenderaan kepada pelanggan di seluruh dunia. – Gambar serahan Porsche Brunei