Porsche lanjut jaminan kereta baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Porsche akan melanjutkan jaminan kereta baharu selama tiga bulan bagi semua kereta baharu yang mempunyai jaminan yang akan mansuh antara 1 Mac dan 31 Mei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Porsche, langkah yang dilaksanakan secara percuma bagi pelanggan-pelanggannya itu adalah sah di seluruh dunia.

Pengeluar kereta sport berkenaan mengambil langkah itu sebagai respons kepada krisis koronavirus yang telah banyak mengehadkan perniagaan di banyak pusat Porsche sejak Mac.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa ia juga adalah bagi pelanggan-pelanggan yang telah mendapatkan Porsche Approved Warranty selepas jaminan kereta baharu mereka mansuh di mana jika jaminan berkenaan bermula dalam tempoh sah bagi lanjutan berkenaan, ia juga akan dilanjutkan selama tiga bulan.

Ketua Lepas Jualan di Porsche AG, Daniel Schukraft dipetik menyatakan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk menjana semangat dalam kalangan pelanggan termasuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang khususnya dalam masa yang mencabar ini.

Porsche telah mengumumkan bahawa jaminan bagi kereta baharu dilanjutkan selama tiga bulan. – Gambar serahan Porsche

Dalam hubungan itu, Porsche telah mengambil keputusan untuk melaksanakan penyelesaian yang sama rata dan tidak birokratik seluruh dunia.

“Para pelanggan tidak perlu untuk melakukan apa-apa, pusat Porsche akan mengambil maklum akan lanjutan itu secara automatik,” tekannya.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa tarikh mansuh baharu bagi jaminan itu adalah dikira daripada hujung tempoh masa ini iaitu jika jaminan kereta baharu berkenaan mansuh pada 20 Mac 2020, lanjutan itu adalah diberikan bagi tempoh tiga bulan sehingga 20 Jun 2020.

Bagi jaminan kereta baharu yang mansuh pada 15 Mei 2020, ia akan dilanjutkan sehingga 15 Ogos 2020.

Kenyataan menyatakan bahawa jaminan kereta baharu akan sentiasa sah bagi minimum dua tahun dan bermula pada hari kereta berkenaan dihantar kepada pelanggan.

Porsche Approved Warranty bagi kereta pra-milik meliputi satu tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan dengan pilihan bagi penyambungan. Tuntutan boleh dibuat ke atas jaminan di mana-mana rakan kongsi Porsche seluruh dunia.