Porsche Macan S milik Awang Suhaibul

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Awang Suhaibul bin Haji Ahmad tidak menyangka bahawa kotak nombor 2 yang dipilihnya membawa tuah kepadanya apabila mengandungi kunci kereta Porsche Macan S yang merupakan hadiah utama cabutan Shell V-Power Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) pada acara yang berlangsung di 118 Residence, Kiulap, kelmarin.

Pada majlis berkenaan, seramai 10 orang pelanggan bertuah yang merupakan finalis bagi acara cabutan utama beraksi untuk menentukan pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta mewah, Porsche Macan 2.

Finalis berkenaan telah dipilih menerusi cabutan awal yang diadakan pada 17 Julai lalu yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi BSM.

Hadir pada acara cabutan utama dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku ahli Lembaga Pengarah. Turut hadir ialah wakil daripada firma audit bebas, PWC iaitu Chai Xiang Yuin.

Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa acara cabutan utama yang diadakan bersempena dengan pelancaran Shell V-Power pada 10 Februari lalu itu, merupakan salah satu mercu tanda yang bersejarah bagi BSM.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berserta YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini dan YAM Pengiran Anak Muhammad Za’eem ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menyampaikan hadiah utama Porsche Macan S kepada Awang Suhaibul (kiri) pada majlis cabutan utama Shell V-Power BSM di Kiulap, kelmarin. Turut hadir ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil. – Gambar oleh Sim Y.H
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Awang Muhammad Norshafiee bergambar ramai dengan 10 orang finalis bagi majlis cabutan utama Shell V-Power BSM di 188 Residence, Kiulap.

Sejak pelancaran V-Power ke pasaran Brunei, ia bukan sahaja menyaksikan peningkatan dari segi penerimaan dan kesedaran mengenai manfaat minyak Shell V-Power tetapi ia juga mendapat sokongan yang sungguh menggalakkan daripada semua orang.

Beliau menambah bahawa BSM percaya dalam memanfaatkan inovasi untuk memberikan pilihan yang lebih baik kepada orang ramai dan ke arah itu, akan terus berusaha serta komited untuk memperbaiki secara inovatif, efisien dan efektif bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Majlis kemudian menyaksikan pengenalan 10 orang finalis bagi cabutan utama di mana mereka harus melalui tiga pusingan untuk menentukan pemenang bertuah yang memandu pulang Porsche Macan S.

Setelah melalui dua pusingan awal, hanya tinggal tiga orang peserta yang beraksi di pusingan ketiga dan dalam pusingan itu, Awang Suhaibul membuat pilihan yang bertuah.

Manakala itu, sembilan orang pemenang lain membawa pulang hadiah sagu hati berupa Shell Helix Power 4 liter, baucar minyak bernilai $100 dan barangan Shell V-Power.

Awang Suhaibul yang merupakan kakitangan perkhidmatan awam berusia 37 tahun, dalam temu bual ringkas bersama Media Permata melahirkan perasaan syukur dan tidak menyangka akan memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Porsche Macan S.

Menurutnya, sepanjang melalui tiga pusingan itu, beliau berasa amat gementar dan terkejut, bersyukur serta gembira apabila membuka kotak dan melihat bahawa terdapat kunci kereta dalam kotak itu. Katanya lagi, beliau telah membeli minyak Shell V-Power lebih 14 kali dan tidak menyangka akan memenangi kereta berkenaan yang akan digunakannya sekeluarga.

Sebelum acara cabutan utama berkenaan, seramai 60 orang pemenang cabutan bertuah bulanan daripada Februari hingga Jun telah diumumkan melalui platform media sosial BSM di mana para pemenang menerima hadiah berupa minyak Shell V-Power bernilai $50.

Menurut BSM, Shell V-Power adalah lebih daripada hanya minyak baharu dalam pasaran tetapi ia merupakan gaya hidup yang baharu di mana ia menekankan kepada mencabar status quo dan bergerak menuju ke arah norma baharu.

Pada masa yang sama, percaya bahawa penyelesaian inovatif baru akan memperbaiki lagi kehidupan seharian kita di Brunei.