Porsche, Michelin sokong peladang getah Indonesia

Oleh Syahmi Hassan

STUTTGART, 20 OKT – Dalam usaha untuk mempertingkat pengeluaran getah asli secara mampan, Porsche dan Michelin komited untuk menyokong dan meningkat taraf hidup serta situasi ekonomi pekebun kecil di Sumatera, Indonesia menerusi projek ‘CASCADE’ (Tindakan Komited untuk Pembangunan Kapasiti Pekebun Kecil).

Menurut kenyataan yang diterima, Indonesia merupakan salah satu wilayah pengeluaran getah terpenting di dunia. Wilayah pengeluaran getah di provinsi Jambi adalah amat terpencil.

Kedua-dua rakan kongsi berkenaan mengenal pasti risiko terhadap kemapanan rantaian bekalan dalam pengeluaran getah dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan khas untuk tujuan tersebut dan dengan mengadakan perbincangan bersama peserta pasaran di rantau ini.

Ahli Lembaga Eksekutif untuk Perolehan di Porsche AG, Barbara Frenkel dipetik berkata, “Bagi Porsche, tanggungjawab bermula dari pintu pagar kilang. Kami mengambil pendekatan holistik terhadap kemapanan. Rangkaian bekalan kami dan pengeluaran bahan mentah adalah faktor penting di sini.

“Kami bertanggungjawab terhadap impak kami di rantau pengeluaran getah di Indonesia.

Porsche dan Michelin melabur kira-kira 1 juta euro dalam projek CASCADE untuk membantu pekebun getah di Indonesia. – Gambar serahan QAF Eurokars

Kami mahu meningkatkan kehidupan penduduk melalui projek yang dijalankan di rantau ini.

Pekebun kecil membentuk nadi rantaian bekalan getah asli yang mampan.

“Itulah sebabnya kami menyokong mereka untuk mencapai taraf hidup yang baik sementara mematuhi amalan persekitaran dan sosial yang baik.”

Naib Presiden Kanan, Ketua Pegawai Pemerolehan Michelin, Helene Paul pula berkata, “CASCADE adalah contoh komitmen Michelin terhadap rantaian bekalan getah asli yang mampan yang melindungi alam sekitar dan meningkatkan mata pencarian. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Porsche dalam projek yang bercita-cita tinggi ini.”

CASCADE adalah salah satu projek sokongan pertama di dunia yang bermula pada tahap paling bawah rantaian bekalan getah asli.

Skim tersebut akan menyaksikan 1,000 pekebun kecil dilatih oleh rakan kongsi tempatan untuk menjadikan kaedah pengekstrakan lebih mesra alam dan cekap, justeru menyumbang kepada peningkatan taraf hidup pekebun kecil dan keluarga mereka.

Porsche dan Michelin melabur kira-kira 1 juta euro dalam projek tersebut, yang akan dilaksanakan hingga 2024.