Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Porsche Panamera Sport Turismo secara rasmi akan diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam pada hujang tahun 2017 atau awal tahun 2018.
Coupe empat pintu generasi kedua ini menampilkan rekaan yang lebih anggun, bahagian luaran yang lebih sportif, lebih panjang dan dinamik, bahu yang lebih lebar serta bumbung 20mm lebih rendah berbanding bahagian belakang.
Ia juga lebih besar berbanding model sebelum ini, dengan dimensi 5,049mm (+34 mm) panjang, 1,937mm (+6 mm) lebar dan 1,423mm (+5mm) tinggi serta jarak roda juga telah dipanjangkan 30mm kepada 2,950mm.
Walaupun lebih rendah, dengan garis bumbung baru ini, Porsche mengubah seluruh imej Panamera. Perubahan lain yang turut dibuat adalah pada bahagian overhang, di mana bahagian hadapan dikurangkan dan ditambah pada bahagian belakang.
Panamera generasi baru ini dilengkapi lampu LED di bahagian hadapan dengan empat titik lampu LED nyalaan siang dan ditawarkan dalam tiga versi.

Pada bahagian belakang pula, Panamera dilengkapi lampu LED tiga dimensi dan dipenuhi lampu brek empat titik. Sayap belakang untuk Panamera Turbo kini dipisahkan untuk dilebarkan, seterusnya memperolehi kawasan permukaan tambahan.
Seperti yang dibayangkan sebelum ini, komponen yang dibina daripada bahan aluminium kini ditingkatkan bagi mendapatkan berat yang ideal. Komponen berkenaan meliputi bahagian luaran, sisi badan, bonet, bumbung dan dapra.
Semasa uji pandu di Litar Lumba Sepang, Malaysia baru-baru ini, wartawan Media Permata mendapati Porsche Panamera cukup eksklusif dan sesuai bagi mereka yang berminat dalam sukan lumba kereta.
Panamera cukup mantap dengan enjin turbo berkembar V8 4.0 liter dengan kuasa 550 PS pada 5,750 Rpm dan tork maksimum 770 Nm dicapai antara 1,960 dan 4,500 Rpm, 30 PS dan 70 Nm lebih berkuasa berbanding model terdahulu.
Dengan kuasa berkenaan, Panamera Turbo mampu memecut dari 0 hingga 100km dalam masa hanya 3.8 saat (3.6 saat jika dengan pakej Sport Chrono) dan mencapai kelajuan maksimum 306km sejam.