Porsche perkenal Targa Heritage Design

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Porsche telah memperkenalkan model rekaan warisan pertamanya iaitu 911 Targa 4S Heritage Design Edition yang merupakan model Porsche 911 canggih dengan elemen rekaan daripada tahun 1950an dan awal 60an.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Porsche Brunei, elemen-elemen rekaan luaran dan dalaman yang bersejarah telah ditampilkan semula dan digabungkan dengan teknologi terkini dalam edisi terhad istimewa daripada Porsche Exclusive Manufaktur.

Model baharu berkenaan sudah boleh ditempah dan akan sampai kepada pengedar-pengedar kenderaan jenama mewah berkenaan selepas suku kedua tahun ini. Kenyataan menyatakan bahawa hanya contoh 992 akan dibangunkan, bersesuaian kod siri model dalaman.

Di samping pengenalan edisi khas berkenaan, elemen-elemen dalaman terpilih juga akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej Heritage Design bagi semua model 911 pada masa ini.

Porsche Design juga telah menghasilkan kronograf berkualiti tinggi, juga dalam jumlah terhad, yang tersedia secara eksklusif untuk pembeli model edisi terhad baharu berkenaan.

Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche AG, Oliver Blume dipetik sebagai berkata, “Dengan model-model Heritage Design, kami membangkitkan memori 50an hingga 80an para pelanggan dan peminat.

“Tiada jenama boleh menterjemahkan elemen-elemen ini kepada dunia moden sebaik Porsche dan dalam cara ini, kami memenuhi hasrat para pelanggan,” ujarnya.

Beliau menambah, mereka juga menubuhkan barisan produk baharu yang menggambarkan dimensi gaya hidup dalam strategi produk mereka dengan edisi khas eksklusif berkenaan.

Warna cat eksklusif Cherry Metallic atau empat warna lain yang ditawarkan, digabungkan dengan logo berwarna emas, menghasilkan rekaan autentik gaya 50an.

Porsche memperkenalkan model rekaan warisan pertamanya iaitu 911 Targa 4S Heritage Design Edition. – Gambar serahan Porsche