Porsche rai ulang tahun PDK ke-40

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 Porsche dual-clutch transmission (PDK), satu sesi Virtual Roundtable – 40 Years of PDK telah diadakan baru-baru ini, bagi mengimbas kembali sejarah perkembangan dan pembangunan PDK tersebut.

Antara yang hadir bagi mengulas mengenai perjalanan PDK sepanjang tempoh 40 tahun yang lalu pada sesi perbincangan secara maya tersebut ialah Rainer Wust
yang merupakan pakar berpengalaman dalam kejuruteraan kotak gear sejak 1971 dan juga bertindak sebagai ketua pembangunan casis di pusat pembangunan di Weissach.

Turut diundang ialah Hans-Joachim Stuck yang merupakan pemandu perlumbaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan PDK. Manakala itu, Ketua Pemacu Alternatif Porsche, Christian Hauck menjadi ahli panel ketiga pada sesi perkongsian tersebut.

PDK bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan sebelum dapat dihasilkan.

Rainer Wust mengongsikan bahawa pencarian konsep kotak gear yang mempunyai kelebihan kotak gear manual dan mengelak kesan buruk kotak gear automatik pada masa itu bermula jauh lebih awal dari tarikh penghasilan rasminya pada 1981 yang mana dianggarkan telah bermula 20 hingga 30 tahun sebelumnya.

Sesi Virtual Roundtable – 40 Years of PDK yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 PDK, baru-baru ini.

Ia bukanlah tugas yang mudah, kerana pada masa itu, tiada elektronik kawalan berkuasa mahupun injap elektro hidraulik yang sesuai untuk kenderaan. Pada Porsche 924, pasukan tersebut akhirnya dapat membangunkan fungsi asas PDK disebabkan transmisi prototaip yang diubahsuai dan berhasil ditunjukkan pada peringkat ini.

Sementara itu, detik manis bersejarah yang menyaksikan kejayaan PDK ialah apabila buat julung kalinya kenderaan perlumbaan yang menggunakan PDK telah memenangi kejohanan dunia pada 1986.

Meskipun PDK mempunyai kelebihan pada berat dan lebih rumit, ia juga dapat menunjukkan kelebihan yang ketara dalam prestasi pengemudian di trek perlumbaan.

PDK yang dibangunkan oleh Porsche juga telah diuji dalam pemanduan rali (rally) di mana Walter Rohrl yang menggunakan PDK dalam kenderaan Audi Sport-Quattro S1 pada 1985 telah menduduki tempat pertama dalam Semperit Rally. Kelebihan anjakan kuasa amat ketara dalam kondisi rali, kerana peralihan adalah kerap berlaku dalam kenderaan rali.

Sesi maya tersebut turut dihadiri oleh para pengamal media tempatan dan antarabangsa bagi meraikan ulang tahun PDK yang telah memberikan impak signifikan dalam dunia permotoran sehingga ke hari ini.

Sebelum sesi secara maya tersebut berakhir, sesi soal jawab turut dibukakan kepada para media yang hadir terhadap pembangunan dan perancangan PDK pada masa mendatang.