Porsche sasar kembangkan pasaran tenaga neutral karbon

Oleh Syahmi Hassan

STUTTGART, 7 DIS – Porsche sedang mengembangkan portfolio pelaburannya dalam bidang teknologi bandar pintar apabila unit modal usaha niaganya iaitu Porsche Venture, bakal menjadi pemegang saham dalam 1KOMMA5°.

Menurut kenyataan Porsche, syarikat baharu yang berpangkalan di Hamburg itu menyasarkan matlamat untuk mengembangkan pasaran bagi tenaga neutral karbon dan teknologi penyaman udara dalam rumah persendirian dalam cara yang mapan dan decentralised, dengan itu mempercepatkan peralihan kepada tenaga karbon rendah dan neutral karbon.

Cara 1KOMMA5° beroperasi adalah dengan mendapatkan kepentingan dalam syarikat-syarikat pemasangan elektrik terkemuka di seluruh Eropah dengan tumpuan pada tenaga boleh diperbaharui (bekalan diri suria, pam haba, penyimpanan tenaga), menyokong mereka dengan usaha pendigitalan dan pemusatan tugas pentadbiran serta menyediakan modal pertumbuhan.

Pada masa yang sama, konsep rangkaian sedang dibangunkan untuk membuatkan peranti yang dipasang tersedia bagi perkhidmatan tenaga masa hadapan melalui aplikasi proprietari dan antara muka, contohnya tarif elektrik pintar dan konsep loji kuasa maya.

Kenyataan menyatakan, dengan pelaburan itu, Porsche memperluaskan penglibatannya dalam syarikat di luar perniagaan terasnya dan menekankan cita-citanya dalam bidang kemapanan. Timbalan Pengerusi Lembaga Eksekutif dan ahli Lembaga Eksekutif Kewangan dan IT di Porsche AG, Lutz Meschke dipetik berkata, topik bandar pintar adalah bidang aktiviti yang menarik untuk Porsche.

1KOMMA5° akan membuka kedai utama di bandar-bandar Jerman. Bilik pameran pertamanya dirancang di Hamburg Binnenalster dan di Lingen. – Gambar serahan Porsche.

“Di sini kami amat mementingkan bandar yang berang-kaian, cekap dan mampan,” tambah beliau.

Beliau seterusnya berkata, “Di Porsche, kami bertanya kepada diri sendiri bagaimana kami boleh meningkatkan lagi kualiti hidup di kawasan bandar? Bukan sahaja pada empat roda, tetapi juga dengan tawaran premium yang lebih meluas. Dalam hal ini, 1KOMMA5° sesuai dengan strategi pelaburan kami.”

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif 1KOMMA5°, Philipp Schroder pula dipetik berkata, “Kami mahu melabur lebih daripada 100 juta euro dalam pemerolehan bagi tempoh dua tahun akan datang dan dengan berbuat demikian menjadi kedai sehenti untuk teknologi bangunan neutral iklim.”

Pada 2022, syarikat permulaan itu akan membuka kedai utama di bandar-bandar Jerman bagi memperkenalkan idea-idea rumah neutral karbon dan pejabat neutral karbon kepada khalayak yang lebih luas.