Porsche Taycan pemacu inovasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dengan mengetengahkan 27 ciri baharu, Porsche Taycan merupakan pemacu inovasi terpenting dalam pasaran automotif global di mana 13 daripada ciri-ciri berkenaan merupakan yang pertama di dunia.

Perkara itu merupakan hasil dapatan daripada Laporan Inovasi Automotif baharu yang diterbitkan oleh Center of Automotive Management (CAM) di mana inovasi bagi Porsche elektrik yang dikenal pasti oleh para saintis CAM termasuk seni bina 800-volt, transmisi dua-kelajuan pada gandar belakang, pemulihan kuasa yang tinggi sehingga 265 kW dan nilai Cd terbaik dalam segmen (dari 0.22).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Porsche Centre Brunei, di sini, CAM merupakan sebuah institut saintifik bebas bagi perundingan strategik dan penyelidikan empirikal automotif dan mobiliti di University of Applied Sciences (FHDW) di Bergisch Gladbach.

Di bawah bimbingan Pengarah Pusat, Profesor Stefan Bratzel, CAM mengendalikan analisis inovasi pembuat automotif global sejak 2005 di mana bersama PricewaterhouseCoopers (PwC), mereka mengenal pasti inovasi cemerlang bagi anugerah tahunan dengan kira-kira 250 kenderaan pengeluar telah dinilai bagi 2019/2020.

Kenyataan menyatakan bahawa majlis penganugerahan dikendalikan menggunakan format digital yang berlangsung pada 14 Julai lalu di mana Markus Lanz menghoskan Digital Automotive Talk bagi tajuk Upheaval and Transformation in the Automotive Industry-Innovations as the Key to Successfully Overcoming the Crisis.

Porsche Taycan yang telah memenangi kira-kira 40 anugerah antarabangsa di pasaran-pasaran utama. – Gambar serahan Porsche Centre Brunei

Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche AG, Oliver Blume dipetik berkata bahawa pihaknya amat gembira kerana kenderaan sport elektrik pertama mereka telah dapat meraih anugerah AutomotiveINNOVATIONS.

“Ia merupakan satu pengesahan hebat ke atas kekuatan inovatif syarikat kami dan semangat perintis yang terdapat di Porsche,” tambahnya.

Beliau menyatakan bahawa mereka telah membangunkan sebuah kenderaan baharu dengan pasukan baharu serta telah membina sebuah kilang carbon-neutral yang baharu.

Inovasi teknikal, jelasnya, seperti seni bina 800-volt yang dikenal pasti oleh anugerah itu, membolehkan masa mengecas yang pendek manakala transmisi dua kelajuan pada gandar belakang juga memberikan pengalaman pemanduan yang unik di mana kedua-dua ciri itu mendapatkan maklum balas yang positif.

Porsche Taycan telah memenangi kira-kira 40 anugerah antarabangsa di pasaran-pasaran utama, Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom dan China di mana antara anugerah yang dimenangi ialah World Car of the Year 2020 bagi World Performance Car dan World Luxury Car Categories: World Car of the Year (WCOTY), Car of the Year: BBC TopGear Magazine (UK), Game Changer of the Year: BBC TopGear Magazine (UK), The China Green Car of the Year: Chinese Car of the Year (CCOTY) dan German Car of The Year (GCOTY).

Porsche Taycan juga telah menerima anugerah untuk inovasi oleh Connect Magazine (Jerman).