Porsche umum konsep Mission R

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Porsche Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Porsche telah memperkenalkan konsep kenderaan lumba berkuasa elektrik yang digelar Mission R semasa Pameran Motor Antarabangsa Jerman 2021 di Munich yang berlangsung dari 7 hingga 12 September.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Porsche Brunei, kereta konsep Mission R itu yang menggabungkan teknologi canggih dan penggunaan bahan lestari seperti plastik yang diperkuat gentian alami.

Selain rekaan yang progresif, kereta lumba elektrik sepenuhnya itu turut menampilkan ciri-ciri garisan kereta sport daripada Stuttgart-Zuffenhausen.

Nadi kepada Mission R ialah pakej motor elektrik generasi baharu dengan jumlah output 800kW (1,088ps) dalam mod qualification. Sistem pacuan semua-roda cukup untuk memacu Mission R dari sifar ke 100kmsj dalam masa 2.5 saat, manakala kelajuan maksimum ialah 300kmsj.

Secara umum, Porsche berkata prestasi Mission R di litar mampu menyamai 911 GT3 Cup.

Kereta konsep Mission R yang diumumkan oleh Porsche semasa Pameran Motor Antarabangsa Jerman 2021.

Sementara itu, rekaan luarnya menampilkan komponen aerodinamik aktif termasuklah tiga corong pada kedua-dua sisi kemasukan udara di muncung depan, serta panel belakang boleh-laras.

Menyentuh mengenai badannya, ia dihasilkan daripada plastik yang diperkuat dengan gentian alami dan bahan sama digunakan pada bahagian dalamannya. Struktur keselamatan jentera pula dihasilkan daripada bahan komposit gentian karbon.

Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche AG, Oliver Blume dipetik berkata, Porsche adalah jenama untuk orang yang hendak memenuhi impian mereka dalam sukan permotoran.

“Kekuatan inovatif kami di trek perlumbaan, menunjukkan keberanian dalam mencari jalan baharu dan memuaskan pemilik kereta dengan prestasi yang terbaik.

“Selain penglibatan dalam kejuaraan Dunia Formula E, kami kini mengambil langkah besar ke hadapan dalam mobiliti elektrik. Kajian konsep adalah visi kami untuk pelanggan dalam sukan permotoran elektrik. Mission R merangkumi semua yang menjadikan Porsche lebih kuat dalam prestasi, reka bentuk dan kesinambungan,” tambah beliau.