Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Porselin Jun: Dari warisan diraja ke pasaran dunia

    ZHENGZHOU – Di bandar Yuzhou, wilayah Henan di tengah China, karya seni porselin boleh ditemui di mana-mana sama ada di stesen kereta api, bilik hotel, kolam bunga dan meja makan. Dikenali sebagai ‘bandar porselin China’, seni porselin bukan sahaja lambang keistimewaan tempatan, malah mewakili harta intelek (IP) negara itu.

    Porselin yang dihasilkan di Yuzhou dikenali sebagai Jun, dinamakan sempena lokasi pembuatannya dan teknik penghasilannya berasal dari bandar Shenhou di kawasan itu.

    Terkenal kerana perubahan warnanya apabila dipanaskan dalam relau, porselin Jun dianggap sebagai khazanah negara pada zaman Dinasti Song (960-1297). Pada zaman itu, barangan Jun adalah barangan mewah yang hanya dinikmati oleh keluarga diraja.

    Penduduk tempatan mempunyai pepatah lama, ‘emas mempunyai harga, tetapi porselin Jun tiada bandingannya,’ untuk menekankan nilai luar biasa karya seni itu.

    Proses pembakaran porselin juga dihasilkan begitu teliti sehingga walaupun sedikit kecacatan boleh menyebabkan keseluruhan karya tersebut dibuang begitu sahaja, memperlihatkan standard ketelitian tinggi dalam teknik porselin.

    Seorang pengunjung memerhati produk porselin Jun di sebuah dewan pameran di bandar Yuzhou, wilayah Henan, tengah China. – Xinhua
    Foto gabungan ini memaparkan produk porselin Jun di bandar Yuzhou, wilayah Henan, tengah China. – Xinhua
    Seorang kakitangan membuat porselin Jun di sebuah bengkel di bandar Yuzhou. – Xinhua
    Foto ini menunjukkan produk porselin Jun di luar sebuah kedai porselin Jun di bandar Shenhou, Yuzhou, wilayah Henan, tengah China. – Xinhua

    Pada era 1990an, perkembangan relau gas cecair berjaya mengurangkan pencemaran udara dan intensiti kerja serta meningkatkan kecekapan. Teknologi itu kemudian dipromosikan secara meluas dan digunakan dalam pembakaran porselin Jun.

    Sejak itu, bandar kecil Yuzhou berkembang menjadi pusat penghasilan porselin, dan bengkel-bengkel yang mempamerkan kemahiran pertukangan yang membentuk tanah liat kini menjadi pemandangan unik.

    Porselin Jun telah berkembang daripada sekadar keistimewaan budaya kepada IP setelah diiktiraf sebagai petunjuk geografi (GI) peringkat kebangsaan pada tahun 2003. GI adalah sejenis IP yang menunjukkan asal-usul sesuatu produk dan kualiti atau reputasinya yang berkaitan dengan lokasi tersebut. Ia berfungsi sebagai tanda kualiti, membezakan produk itu daripada pesaing.

    Pada tahun yang sama, porselin Jun menjadi ikon China untuk memperingati acara besar.

    Karya seni dari Yuzhou telah diberikan kepada ketua negara asing sebagai hadiah kebangsaan. Selain itu, pelbagai karya porselin Jun yang mengagumkan telah dikumpul di muzium kebangsaan, galeri, dan institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malah, sebahagian daripadanya dimuatkan dalam buku teks seni.

    Bagaimanapun, dengan populariti barangan porselin Jun yang semakin meningkat, banyak produk GI tiruan muncul di pasaran. Akhbar tempatan kerap melaporkan operasi penangkapan terhadap produk tiruan dan yang melanggar hak IP.

    “Menghasilkan karya seni porselin yang halus memerlukan pelaburan besar dalam bentuk wang dan usaha. Namun, produk kami mudah ditiru,” kata pemilik bengkel tempatan yang mengeluh bahawa pasu porselin asli berharga sekitar AS$1,683, tetapi produk tiruan boleh dijual dengan harga hanya 300 yuan.

    Syarikat terkemuka terjejas teruk akibat pemalsuan, mengakibatkan calar besar terhadap reputasi mereka. Mereka menyedari GI bukan sahaja boleh menjana keuntungan tetapi juga melindungi imej syarikat serta mengekalkan pesanan produk.

    Kongjia Jun Kiln adalah perusahaan terkenal tempatan. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, lebih 2,000 produk tiruan telah diperiksa dan disingkirkan daripada pasaran.

    Menurut ketua pereka syarikat, Kong Chunsheng, mereka telah mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan perlindungan IP dengan mendapatkan lebih 100 paten reka bentuk dan menubuhkan pasukan khusus yang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk penyiasatan dalam dan luar talian.

    Tukang porselin juga berusaha keras dalam inovasi. Sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, syarikat Kong bukan sahaja membangunkan paten untuk air glis tetapi juga memfokuskan terhadap reka bentuk produk, mengintegrasikan teknik porselin kuno ke dalam hiasan rumah moden. Syarikat itu turut memperluaskan rangkaian produknya dari pasu tradisional kepada cawan teh bergaya, pasu bunga yang elegan dan bekas wain, sehingga mendapat sambutan daripada pengguna kerana gaya fesyennya.

    Sebuah lagi syarikat iaitu Pingshan Jun Kiln secara kreatif menggabungkan seni porselin dengan reka bentuk barang kemas dan pakaian moden, memperkenalkan koleksi rantai leher, skarf sutera dan beg tangan wanita dengan elemen porselin. Produk itu segera mendapat populariti di pasaran dan dipamerkan di pameran antarabangsa.

    “Dengan kepercayaan pengguna yang meningkat, harganya akan melambung,” kata pengurus syarikat itu, Song Yixin.

    “Produk GI kami bukan sahaja diiktiraf pelanggan, malah mengalami peningkatan harga sebanyak 30 peratus, yang menonjolkan kualiti premiumnya,” tambahnya.

    Selain usaha syarikat, usaha kerajaan juga memainkan peranan penting. Pada 2021, sebuah zon demonstrasi perlindungan produk GI porselin Jun peringkat kebangsaan telah dilancarkan di bandar Yuzhou, di mana pegawai setempat telah menjalankan lebih 20 operasi penguatkuasaan undang-undang khas untuk menyiasat dan membuat publisiti kes-kes tipikal, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan IP.

    Pada Mei lalu, pusat perlindungan hak IP untuk paten porselin telah ditubuhkan di Yuzhou, di mana melalui pentauliahan pantas, pihak syarikat segera melindungi karya inovasi mereka dan mencegah ditiru atau pelanggaran oleh pihak pesaing, sekali gus melindungi bahagian pasaran dan keuntungan mereka.

    Timbalan pengarah pentadbiran penyeliaan pasaran tempatan, Sun Jianwei, berkata sejak penubuhan pusat tersebut, pihaknya berjaya mengurangkan masa pemprosesan paten daripada empat bulan kepada hanya tujuh hingga 10 hari bekerja.

    “Inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada syarikat kami dalam pengisytiharan paten, pengesahan, perlindungan hak dan keselamatan paten keseluruhan,” kata Sun.

    Porselin Jun kini menjadi contoh terbaik bagaimana GI dapat melindungi pencapaian inovatif, dengan Yuzhou kini memiliki hampir 200 perusahaan porselin, menyediakan pekerjaan kepada 28,000 orang. Dengan pengeluaran tahunan sebanyak 2.2 juta set porselin dan nilai jenama mencecah 28.54 bilion yuan, industri porselin Jun kini mendahului kategori GI kraftangan di China.

    Menurut data terkini oleh pentadbiran IP negara, China telah meluluskan 2,523 produk GI dan mendaftarkan 7,385 tanda dagangan GI, dengan kualiti dan kuantiti produk GI China berada di antara yang tertinggi di dunia. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda