Portal MalaysiaBiz diperluas ke Sabah

KOTA KINABALU, 25 Julai – Portal MalaysiaBiz menerusi pautan malaysiabiz.mampu.gov.my yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kini diperluas ke Sabah bagi kemudahan komuniti perniagaan memperolehi maklumat pendaftaran dan pelesenan niaga secara cepat dan mudah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri c berkata pelancaran di Sabah juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memenuhi tuntutan pelanggan selain menawarkan perkhidmatan awam digital yang melangkaui jangkaan pelanggan.

“Dalam hubungan ini, kemampuan Portal MalaysiaBiz merupakan faktor amat kritikal bagi memastikannya dapat dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan.

“Sehubungan itu, seramai 129 Rakan Informasi Lesen (RIL) pihak berkuasa di Sabah dilantik untuk memastikan maklumat di portal MalaysiaBiz adalah terkini, sahih dan tepat,” katanya pada pelancaran portal itu di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mazlan Yusoff (kanan) melawat pameran selepas melancarkan Portal MalaysiaBiz di Auditorium Sabah Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah kelmarin. - Bernama
Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mazlan Yusoff (kanan) melawat pameran selepas melancarkan Portal MalaysiaBiz di Auditorium Sabah Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah kelmarin. – Bernama

Menurut Joseph, portal yang dibangunkan menerusi Program Berimpak Tinggi 1 Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP 1) di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020, turut mendapat sokongan serta kerjasama kerajaan negeri dan rakan strategik sepanjang pelaksanaan usaha itu di Sabah pada Mei lalu.

“Hasilnya (pelaksanaan SME HIP 1), informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan di portal MalaysiaBiz bagi 67 pihak berkuasa Sabah telah berjaya disiapkan dan dimanfaatkan oleh seluruh komuniti perniagaan di sini,” katanya.

Malah, skop portal yang kini berfungsi sebagai hebahan maklumat setempat, akan diperluaskan kepada penyediaan perkhidmatan pendaftaran dan permohonan lesen perniagaan dalam talian.

Menerusi cara itu, kata Joseph, urusan pendaftaran dan permohonan lesen perniagaan dapat dilakukan secara mudah dan pantas, sekaligus mempercepatkan proses menjalankan urusan perniagaan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Inisiatif ini (perluasan skop portal) akan dilaksanakan menerusi dua fasa dengan fasa pertama bermula tahun ini hingga tahun depan manakala fasa kedua pada 2019-2020,” katanya. – Bernama