Portugal bebaskan 2,000 banduan

LISBON, 10 APRIL – Presiden Portugal Marcelo Rebelo de Sousa semalam menguatkuasakan dekri untuk memberikan separa pengampunan dan mengurangkan pelaksanaan hukuman kepada banduan semasa pandemik COVID-19.

Agensi berita Xinhua melaporkan undang-undang itu berkuat kuasa pada hari ini.

Menteri Kehakiman Francisca Van Dunem berkata keputusan itu bakal menyaksikan antara 1,700 hingga 2,000 banduan dibebaskan.

Di bawah undang-undang itu, pengampunan diberikan kepada banduan yang melakukan jenayah tidak serius (menjalani hukuman penjara sehingga dua tahun), pembebasan untuk cuti sementara dan parol.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai kepada banduan yang melakukan kesalahan membunuh, merogol, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, atau jenayah dilakukan ahli politik, tentera serta majistret semasa bertugas.

Pada awal minggu ini, menteri itu berkata satu kes COVID-19 dilaporkan di penjara menjadikan jumlah keseluruhan 200 jangkitan dalam kalangan banduan.

Sehingga Khamis, Portugal melaporkan 409 kematian dan 13,956 kes jangkitan. Sebanyak 815 kes baharu didaftarkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan. – Bernama