Portugal di ambang penyingkiran

BUDAPEST, 22 JUN – Jerman berupaya menjamin tempat ke pusingan 16 terbaik Euro 2020, Khamis ini namun juara bertahan, Portugal berada di ambang penyingkiran meskipun memulakan kempen Kumpulan F dengan penuh gaya bersama Cristiano Ronaldo.

Perancis mendahului carta Kumpulan F dengan empat mata menjelang perlawanan terakhir menentang Portugal, satu ulangan seperti di Euro 2016, meskipun diikat 1-1 dengan pasukan di tangga terbawah, Hungary di Budapest sebelum ini.

Jerman dan Portugal masing-masing mengumpul tiga mata, namun barisan kendalian Joachim Loew mempunyai kelebihan daripada sudut rekod pertemuan susulan kemenangan 4-2 di Munich, sekali gus meletakkan tekanan buat skuad disertai Ronaldo.

Portugal memulakan kempen menerusi kemenangan 3-0 ke atas Hungary, menyaksikan Ronaldo muncul selaku penjaring terbanyak dalam sejarah Kejohanan Eropah, namun Fernando Santos berdepan kekecewaan apabila maruah pasukan kendaliannya dirobek Jerman, Sabtu lalu.

“Kami perlu melihat lebih teliti perlawanan ini dan sekarang apa yang perlu dilakukan, mengosongkan semula kepala dengan kami mempunyai perlawanan penting menentang Perancis,” kata Santos selepas tewas di tangan Jerman. Ronaldo menjaringkan gol buat kali ketiga dalam dua perlawanan, menjadikan jumlah jaringannya di Kejohanan Eropah kepada 12 gol dalam lima penampilan di kejohanan itu.

Reaksi kecewa Ronaldo selepas pemain Jerman Kai Havertz menjaringkan gol buat pasukannya semasa perlawanan mereka di Jerman pada 19 Jun. – AP

Namun, kekalahan kelima dalam rekod pertemuan dengan Jerman memaksa Portugal untuk mengelak kekalahan dalam pertembungan bersama juara dunia, Perancis bagi memastikan tempat di pusingan kalah mati.

“Tugasan seterusnya menentang Perancis adalah sesuatu yang sukar,” kata pertahanan, Joao Moutinho.

“Kami perlu memberikan imej yang lebih baik, berbanding apa yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini.”

Kekalahan dalam perlawanan pembukaan di tangan Perancis meletakkan Jerman dalam masalah yang menjurus kepada prospek kegagalan di peringkat kumpulan seperti di Piala Dunia 2018.

Jerman akan mara ke pusingan kalah mati dengan keputusan seri, namun mampu menjamin penamat dalam kelompok dua terbaik sekiranya dapat menundukkan Hungary. – AFP