Portugal menang bergaya

LISBON, 11 Sept – Andre Silva menjaringkan gol tunggalnya ketika juara Eropah, Portugal beraksi di atas padang tanpa bintang bola sepak Cristiano Ronaldo, memulakan kempen Liga Negara dengan kemenangan 1-0 ke atas Itali.

Ronaldo, 33, dikeluarkan daripada skuad itu berikutan permintaannya sendiri yang mahu menumpukan perhatiannya terhadap kelab baharunya, Juventus.

Namun begitu, juara Euro 2016 itu tidak menunjukkan tanda gentar tanpa kehadiran penyerang terkenal itu, mendominasi Itali untuk meraih tiga mata dalam Kumpulan 3 yang turut disertai Poland.

Pengendali Itali, Roberto Mancini mengalami kekalahan kompetitif pertamanya setelah seri 1-1 dalam kempen pembukaan Jumaat lalu di Bologna, dengan Azzurri hanya meraih satu mata selepas dua perlawanan.

“Kami melakukan banyak kesilapan, tetapi pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami perlu mencari jalan untuk menjaringkan gol kerana anda tidak menang tanpa menjaringkan sebarang gol. Itulah masalah utama kami sekarang,” kata Mancini.

Donnarumma (kiri) mendapatkan bola daripada dikuasai oleh Silva dalam perlawanan Liga Negara yang berlangsung di Stadium Luz, Lisbon, kelmarin. – AFP

“Portugal menang perlawanan pertama, jadi mereka menjadi skuad pilihan, tetapi saya fikir ia masih terbuka luas, anda tidak pernah tahu dalam bola sepak.”

Silva menjaringkan gol tiga minit separuh masa kedua bermula bersama penyerang AC Milan yang dipinjam menyambut hantaran Bruma untuk mengatasi bekas rakan sepasukannya Gianluigi Donnarumma di pintu gawang Itali.

“Saya mempunyai beberapa rakan dalam skuad kebangsaan Itali, namun tiada kawan apabila berada di atas gelanggang,” kata Silva.

“Secara keseluruhannya kami adalah pasukan yang lebih baik dan layak bagi kemenangan ini.” – AFP

SAHAM
TerdahuluMahrajan UNISSA meriah
SeterusnyaKiudangku Ceria meriah