PORTO, PORTUGAL, 29 MAC – Perlawanan playoff Piala Dunia di antara Portugal dan Macedonia hari ini merupakan ‘perkara hidup dan mati’, kata Cristiano Ronaldo sebelum perlawanan itu.
Bintang Manchester United, Ronaldo menaruh harapan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia kelima bersama Portugal dan merebut satu lagi peluang menjulang trofi untuk kali pertama pada usia 37 tahun.
Pemenang perlawanan di Porto akan menempah satu tempat pada saingan final tahun ini di Qatar.
“Pasukan berasa agak yakin, saya rasa semua pemain sudah bersedia,” beritahu Ronaldo pada sidang media semalam.
“Bagi kami, perlawanan ini merupakan perkara hidup dan mati, kami sedar mengenai kepentingannya dan saya mengambil peluang ini untuk merayu kepada penyokong supaya memberikan kami sokongan besar esok.”

Portugal mungkin menjangka berdepan Itali dalam final playoff, tetapi juara Eropah itu merosot dalam kekalahan mengejutkan 1-0 di laman sendiri di tangan Macedonia Utara minggu lalu.
Pemain Macedonia juga mencatat kemenangan mengejutkan ke atas Jerman dalam kempen kelayakan sebelum ini.
“Kami akan beraksi menentang Macedonia Utara dan sudah tentunya orang memikirkan ia akan menjadi pencabar senang,” akui Ronaldo.
“Pada pendapat saya, ia akan menjadi perlawanan amat sukar disebabkan jika skuad Macedonia mampu berada di sini adalah disebabkan mereka layak.
“Macedonia Utara adalah pasukan yang amat teratur, tetapi jika Portugal melakukan usaha terbaik mereka, mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan di dunia.
Ronaldo, penjaring rekod sepanjang masa dalam bola sepak antarabangsa, akan berusia 41 tahun pada masa Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. – AFP