MOSCOW, 20 Jun – Pemain pertahanan Portugal, Pepe berkata ia adalah keistimewaan buat negara itu memiliki pemain seperti Cristiano Ronaldo selepas bintang Real Madrid itu mempamerkan aksi menakjubkan ketika menentang Sepanyol di kejohanan Piala Dunia.
Ronaldo menghasilkan hatrik termasuk gol menerusi sepakan percumanya pada minit ke-88 membolehkan juara Eropah itu mengutip satu mata apabila mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi sulung Kumpulan B.
Portugal berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya menang ke atas Maghribi malam ini.
“Apa yang paling penting untuk pasukan kami adalah Ronaldo bermain dengan baik. Dia sangat gembira dapat berada di sini bersama kami dan setiap perlawanan adalah kelebihan buat kami memiliki pemain sepertinya,” kata Pepe.
Hatrik Ronaldo adalah yang ke-51 dalam kerjayanya, kebanyakan dijaringkan ketika beraksi bersama Pepe, yang juga bekas pertahanan Real.
“Bagi saya, tiada apa yang baharu mengenai Ronaldo. Dia mengharungi perlawanan yang menakjubkan dan adalah penting yang dia sangat merendah diri di atas padang dan bekerja bagi membantu pasukan.
“Kami gembira bersamanya dan juga prestasinya. Begitu juga prestasi pemain lain dalam pasukan,” katanya.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos menegaskan bahawa tidak akan ada rasa mudah berpuas hati dalam diri pemainnya apabila menentang Maghribi selepas perlawanan dengan Sepanyol.
“Mereka adalah antara pasukan terbaik Afrika,” kata Santos. “Mereka mempunyai pemain berpengalaman, yang sebahagian besarnya bermain di Eropah.
“Pasukan itu sangat teratur dan tahu permainan mereka dengan baik.” – AFP