Pos, JPD, AMBD umum penutupan kaunter

Oleh Sim Y. H. & Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Sempena Cuti Awam Hari Raya Aidilfitri 1442H/2021M esok, beberapa perkhidmatan kaunter di jabatan-jabatan kerajaan akan ditutup operasinya bermula 14 hingga 18 Mei ini.

Menurut kenyataan yang diterima secara berasingan, Jabatan Perkhidmatan Pos, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memaklumkan bahawa semua perkhidmatan kaunter dan operasi di semua cawangan akan ditutup pada 1 hingga 5 Syawal dan akan mula beroperasi seperti biasa pada 19 Mei (6 Syawal).

Penutupan itu juga termasuk Galeri Matawang dan Gift Shop AMBD, kaunter perkhidmatan pelanggan Biro Kredit, kaunter-kaunter bayaran dan semua kaunter perkhidmatan AMBD yang lain.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan pembayaran dolar Brunei (BND) di antara bank-bank berjalan dengan lancar, operasi bagi System Real Time Gross Settlement (RTGS) AMBD, System Automated Clearing House (ACH) dan System Central Securities Depository (CSD) akan mula beroperasi seperti biasa pada 18 Mei.