Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pos Kuala Mu tumpuan pencinta alam

    Oleh Nurqalby Mohd Reda

    KUALA LUMPUR – Bagi pencinta alam yang ingin menikmati suasana tenang, dikelilingi hutan tropika malar hijau serta kedinginan air sungai, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, adalah antara destinasi ekopelancongan yang boleh dijadikan pilihan.

    Terletak di tanah tinggi banjaran Titiwangsa, Pos Kuala Mu dijaga dan dipelihara oleh penduduk orang asli suku Temiar yang menetap di situ.

    Teruja dengan kisah pengalaman seorang rakan yang bercuti serta menginap di sebuah chalet di Pos Kuala Mu, penulis dengan tiga orang rakan membuat keputusan untuk ke Pos Kuala Mu baru-baru ini untuk melihat sendiri keindahan panorama yang dikongsikan itu.

    Walaupun perjalanan menaiki kereta mengambil masa kira-kira empat jam dari Kuala Lumpur dan hampir dua jam dari pekan Sungai Siput sedikit sukar susulan keadaan jalan yang berbukit serta agak licin akibat hujan lebat, namun semuanya berbaloi sebaik kami tiba di lokasi.

    Keindahan suasana perkampungan orang asli di kiri kanan jalan, dapat menghirup udara segar dan dingin menghilangkan rasa letih perjalanan.

    Binaannya sangat ringkas namun tetap memiliki keunikan tersendiri kerana dibina daripada sumber hutan sepenuhnya. – Bernama
    Bagi pencinta alam yang ingin menikmati suasana tenang, dikelilingi hutan tropika malar hijau serta kedinginan air sungai, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, adalah antara destinasi ekopelancongan yang boleh dijadikan pilihan. – Bernama
    Jalizam berkata, semua proses pembinaan chalet dan pondok di situ menggunakan 100 peratus tenaga orang asli Temiar di perkampungan tersebut yang diambil upah bekerja di kawasan ekopelancongan berkenaan. – Bernama

    Chalet, pondok unik

    Pos Kuala Mu adalah perkampungan orang asli suku Temiar yang terletak paling hujung di kawasan lembah berhampiran dengan Sungai Mu.

    Kawasan lembah itu terletak pada ketinggian antara 600 ke 700 meter dari aras laut yang menempatkan tiga kawasan chalet iaitu chalet Kampung Bersah, Gapeh dan Dusun yang mula beroperasi pada tahun 2017.

    Saya dan rakan-rakan sepakat memilih untuk menginap di chalet Kampung Dusun yang terletak di kawasan paling hujung berbanding dua chalet lain.

    Di chalet Kampung Dusun terdapat kira-kira 20 buah chalet termasuk pondok yang berbentuk seperti rumah orang asli yang disediakan untuk para pengunjung yang ingin menginap di situ.

    Binaannya sangat ringkas namun tetap memiliki keunikan tersendiri kerana dibina daripada sumber hutan sepenuhnya.

    Menurut pengurus chalet Kampung Dusun, Jalizam Azwan, 32, chalet serta pondok dibina menggunakan buluh dan daun pokok bertam yang diperoleh dari kawasan hutan berdekatan.

    “Saya mula ambil alih pengurusan chalet Kampung Dusun ini daripada pakcik saya sejak Februari 2022 kerana beliau tiada masa untuk memantau operasi chalet ini akibat terikat dengan pekerjaan hakiki.

    “Orang luar (pengunjung) melihat chalet ini unik sebab ia dibina menggunakan pelbagai jenis buluh hutan termasuklah buluh tebal dan buluh halus serta bumbungnya dibuat dan dipasang menggunakan daun pokok bertam yang dicari di hutan sekeliling perkampungan ini,” katanya.

    Guna tenaga penduduk kampung

    Setiap chalet dan pondok yang dibina mampu bertahan antara tiga hingga empat tahun dan akan dirobohkan selepas tempoh tersebut untuk digantikan dengan yang baharu.

    Jalizam yang juga anak jati Kampung Dusun berkata, proses membina setiap chalet dan pondok hanya mengambil masa satu hingga dua minggu, bergantung kepada saiznya.

    “Nak bina chalet dan pondok ini tidak susah pun kadang-kadang tiga ke empat hari pun boleh siap satu chalet tetapi yang paling susah sebab nak kena cari buluh dan pokok bertam ini jauh di dalam hutan. Ada masa nak kena masuk betul-betul ke dalam hutan dan jauh sedikit sebab ada kawasan hutan yang tiada buluh yang kita mahu.

    “Contoh macam satu bilik (chalet) untuk dinding kita gunakan buluh yang besar dan kuat sedikit untuk kita anyam jadikan dinding manakala untuk kita ikat dinding atau tiang di kawasan tangga kita gunakan buluh yang halus dan kecil,” katanya.

    Jalizam berkata, semua proses pembinaan chalet dan pondok di situ menggunakan 100 peratus tenaga orang asli Temiar di perkampungan tersebut yang diambil upah bekerja di kawasan ekopelancongan berkenaan.

    Selain bertanggungjawab membina chalet di situ, mereka turut mengambil upah mengemas chalet dan memastikan setiap kawasan bersih untuk keselesaan pengunjung.

    Setiap chalet dilengkapi dengan lampu, tilam, bantal dan selimut serta boleh memuatkan antara tiga ke 10 orang pada satu-satu masa.

    Selain chalet, terdapat juga sebuah pondok yang dilengkapi sinki, meja makan dan dapur memasak.

    “Ada beza chalet dan pondok. Chalet ini tertutup seperti bilik, untuk perkhidmatan ini kita sediakan tilam dan bantal untuk pengunjung yang bermalam di sini manakala pondok lebih terbuka. Kebanyakan pengunjung yang singgah sebentar seperti geng konvoi bermotosikal akan memilih pondok untuk berehat.

    “Ada juga yang sewa pondok dan kemudian memasang khemah di atas pondok ini sekiranya mereka memilih untuk bermalam kerana mahukan suasana hutan dan pemandangan sungai,” kata Jalizam menambah, harga yang ditawarkan kepada pengunjung sangat berpatutan bermula daripada RM80 hingga RM150 semalam.

    Tular selepas PKP

    Menurut Jalizam, penularan pandemik COVID-19 pada 2020, sedikit sebanyak merencatkan aktiviti ekopelancongan di kawasan berkenaan.

    Namun selepas pembukaan semula sektor ekonomi sejak setahun lepas, kawasan itu turut menjadi tumpuan sehingga menerima jumlah pengunjung sekali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Apabila aktiviti industri pelancongan negara terhenti sepenuhnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, kawasan ini pun seolah-olah mati. Operasi kita ditutup sepenuhnya.

    “Kami masyarakat Orang asli yang mengusahakan chalet serta yang bekerja di chalet-chalet ini juga terpaksa melakukan kegiatan ekonomi lain seperti menangkap dan menjual ikan sungai, mencari sumber hutan termasuk Tongkat Ali dan Kacip Fatimah untuk dijual kepada orang luar sebagai sumber pendapatan,” katanya.

    Namun selepas negara mula beralih kepada fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, tempat itu mula dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kaki pancing selain sebagai lokasi peminat aktiviti perkhemahan.

    “Waktu itu tempat ini menjadi sangat popular menerusi kuasa tular. Ada pengunjung yang berkongsi info berkaitan Pos Kuala Mu ini menerusi video yang dimuat naik di Facebook dan Youtube, jadi dari situ memang tidak putus pe-ngunjung datang sampai ke hari ini.

    “Di chalet Dusun ini sahaja kami pernah menerima lebih 100 orang tetamu pada satu-satu masa, waktu itu memang kami tidak menang tangan, saya juga terpaksa mengambil upah pekerja tambahan di hari minggu sebab pengunjung terlalu ramai,” katanya yang mempunyai 10 orang pekerja tetap.

    Pelbagai aktiviti

    Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, beliau mengetahui kewujudan pusat ekopelancongan Pos Kuala Mu itu selepas melihat beberapa keping gambar yang dimuat naik rakannya di media sosial.

    Lee yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang berkata, beliau begitu teringin untuk bercuti di Pos Kuala Mu apabila melihat gambar yang memaparkan keindahan kawasan berkenaan.

    “Selepas kerajaan mengumumkan sudah boleh rentas negeri jadi saya mencari sebanyak mungkin maklumat berkaitan kawasan ini selepas melihat gambar seorang rakan yang datang bercuti ke sini.” – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...