Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam bersabda mengingatkan supaya pemain untuk terus positif dan fokus dalam penyertaan mereka di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti.
Perkara itu antara yang ditekankan Duli Yang Teramat Mulia ketika berkenan berangkat ke kem latihan bola sepak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia disertai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul ‘Aleem dan dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Haji Mohd Yussof.
“Kamu perlu terus positif dan perlu yakin dalam berhadapan pihak lawan. Kamu perlu mencuba sebaik habis dan perlu menunjukkan kepada pihak lawan apa kebolehan kamu sebenar,” sabda Duli Yang Teramat Mulia kepada barisan pemain bola sepak Brunei Darussalam.

Dalam sabdanya lagi, Duli Yang Teramat Mulia mengingatkan supaya mereka menunjukkan kepada negara lain bahawa negara mempunyai pasukan yang bagus, namun memberikan peringatan kepada para pemain agar mengawal diri bagi mengelakkan insiden yang menyebabkan sepakan penalti atau sepakan percuma diberikan kepada pihak lawan.
“Anggaplah rakan sepasukan kamu seperti adik-beradik sendiri dan kamu perlu saling menjaga sesama kamu, tanamkan semangat berpasukan dan lakukannya untuk negara, setentunya saya sangat gembira jika kamu menang, begitu juga keluarga dan negara,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Pasukan Brunei Darussalam akan berhadapan Pasukan Myanmar Jumaat depan, Laos pada 21 Ogos dan Singapura pada 23 Ogos ini nanti di Temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.