Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Positif, semangat juang tinggi dorongan OKU capai kejayaan

    SUNGAI PETANI – Bergelar orang kelainan upaya (OKU) bagi kategori masalah pembelajaran tidak menjadi halangan besar kepada Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan pada 5 Mac lalu.

    Di sebalik kekurangan yang dimiliki, Muhammad Muslim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena berjaya memperoleh keputusan 3A, 2A-, 1B+ dan 1D sekali gus diumumkan antara calon istimewa yang mencatatkan keputusan cemerlang peperiksaan itu di negeri Kedah.

    Ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman keputusan SPM 2019 bagi negeri Kedah yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, Muhammad Muslim berkata disiplin dan konsisten mengikuti jadual ulang kaji mata pelajaran yang ditetapkannya setiap hari antara resipi kejayaannya mendapat keputusan itu.

    “Saya ada buat jadual untuk ulang kaji mata pelajaran diambil setiap hari. Jadi, saya akan pastikan saya ikut jadual ini, kena disiplin dan konsisten ikut jadual pembelajaran ini, jangan sekejap ikut, sekejap tak ikut, tak boleh, sebab nanti jadi malas,” katanya.

    Anak kedua dari lima beradik itu juga memberitahu, dia juga sering mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan dengan rakan lain yang normal dan mereka memberikan sokongan penuh kepadanya.

    Pelajar istimewa dari SMK Pokok Sena Muhammad Muslim Ahmad Shukari menunjukkan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya pada Majlis Pengumuman keputusan SPM 2019 Negeri Kedah. – Bernama
    Pengarah Pendidikan Kedah Abdul Aziz Selaiman (dua, kiri) menyampaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar istimewa dari SMK Pokok Sena Muhammad Muslim Ahmad Shukari pada Majlis Pengumuman keputusan SPM 2019 Negeri Kedah di Dewan Besar, SMK Ibrahim, Sungai Petani. – Bernama

    Mengulas lanjut, Muhammad Muslim berkata golongan OKU sepertinya juga boleh mencipta kejayaan dalam kehidupan sekiranya sentiasa positif dan mempunyai semangat juang tinggi di samping mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan.

    “Kalau saya tak tahu, saya akan bertanya kepada guru. Kawan-kawan pun banyak bantu saya, mereka layan saya macam orang biasa dengan berikan sokongan emosi yang baik kepada saya, kami bersaing secara baik,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang lukisan seni bina.

    Sementara itu, ibunya Lafdziyah Mohd Marzuki, 47, yang bekerja sebagai pembantu makmal di Jabatan Pertanian di Alor Setar berkata anaknya mula mengalami masalah pembelajaran sejak berada di Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) lagi.

    “Dia mula dapat kad OKU masa sekolah rendah darjah lima (11 tahun). Saya tidak menyangka dia akan dapat keputusan cemerlang ini, sebab masa sekolah rendah memang keputusan peperiksaan dia teruk.

    “Tetapi, dia semakin berubah dan menunjukkan minat untuk belajar ketika masuk tingkatan satu dan subjek yang dia minat ialah Sains dan Matematik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda