Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Posmen mengaku curi duit pejabat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Seorang posmen yang bertugas di Pejabat Pos Salambigar hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri wang tunai dari cawangan pos.

    Pendakwa raya Sabrina binti Haji Mahmud mendedahkan pada 30 Mei jam 4:15 petang, Pengiran Ermizatul Anwar bin Pengiran Metassan, 35, telah membuka pintu bilik penolong penguasa pos menggunakan sebatang pembaris selepas semua pekerja lain balik.

    Selepas berjaya masuk, dia menyelongkar laci meja untuk mencari kunci peti yang menyimpan wang.

    Setelah mendapatkan wang tersebut defendan kemudiannya menguncinya kembali dan meletakkan semula kunci di dalam laci meja, mengunci bilik dan meninggalkan pejabat pos.

    Keesokan harinya, defendan pergi memancing di Daerah Temburong bersama rakan sekerjanya dan membelanjakan wang tersebut untuk membayar sewa bot dan perbelanjaan makanannya.

    Pada 1 Jun jam 7 pagi, seorang rakan posmen mendapati pintu pagar belakang dan pintu pejabat pos dibiarkan terbuka. Penolong penguasa pejabat pos telah dimaklumkan dan memeriksa wang dalam peti simpanan di pejabat pos tersebut didapati telah hilang.

    Defendan juga mengakui telah mencuri wang tunai dari peti keselamatan tersebut pada tiga kesempatan sebelumnya dengan modus operandi yang sama.

    Majistret Nur Eleana DSP Haji Hairol Arni akan menjatuhkan hukuman pada 27 Julai ini sambil mempertimbangkan hukuman yang setimpal.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...