Potensi e-sukan semakin berkembang

KUALA LUMPUR, 16 OKT – Pertumbuhan sukan elektronik atau e-sukan di rantau Asia Tenggara seolah-olah tidak dapat dielakkan, kata pemenang pingat emas e-Sukan pada Sukan SEA Dr Yew Weng Kean.

Atlet berusia 30 tahun itu yang menjadi atlet e-sukan Malaysia pertama memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 dalam permainan Hearthstone berkata, telah terbukti dengan perkembangan terbaharu bahawa e-Sukan akan dimasukkan dalam Sukan SEA 2021, selepas ia  disahkan untuk Sukan Dalam Dewan Asia 2021.

“Saya amat lega kerana tuan rumah telah memutuskan untuk memasukkan e-sukan dalam Sukan SEA akan datang. Saya telah nyatakan sebelum ini dan ramai yang akan bersetuju dengan saya, ia adalah kesalahan besar dan langkah terkebelakang jika e-sukan dikeluarkan daripada acara selepas melalui proses yang sukar untuk menjadi acara pingat dalam Sukan SEA di Manila.

“Potensi pertumbuhan e-sukan di Asia Tenggara sangat kuat,” kata pembantu profesor kejuruteraan elektrik itu kepada Bernama.

Menurut laporan media Vietnam, e-sukan, triatlon, boling dan jiu jitsu adalah empat sukan tambahan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi selepas tuan rumah hanya menyenaraikan 36 sebelum ini, namun pengumuman rasmi dijangka bulan depan.

Dengan Dota 2, Arena of Valor dan Pro Evolution Soccer (PES) akan menjadi tiga daripada enam acara yang dipertandingkan di bawah e-sukan, Yew, yang dikenali dengan nama jolokan wkyew90, menjangkakan Vietnam akan memilih permainan yang popular di Asia Tenggara dan mempunyai kelebihan untuk memenangi pingat.

“Tetapi bagi Malaysia, kita pasti mempunyai bakat berpotensi iaitu bertaraf dunia dan boleh memberikan cabaran. Jika kita gandingkan ini bersama struktur latihan yang betul, kita berpotensi untuk mengalahkan sesiapa,” katanya. – Bernama