Potret Rembrandt dijual 28 Julai

LONDON, 8 JUN – Salah satu potret diri terakhir oleh Rembrandt akan dijual pada bulan depan dengan harga 12 hingga 16 juta pound, kata Sotheby’s hari ini.

Hanya tiga daripada potret diri yang dilukis oleh pelukis Belanda itu menjadi milik persendirian: Sotheby’s di London menjual satu potret pada 2003, satu lagi dipinjam untuk jangka masa lama kepada Galeri Nasional Scotland.

Potret ketiga, ‘Potret diri memakai kolar beropol dan topi hitam’, adalah yang paling awal daripada tiga tarikh lain, dan akan dijual di firma pelelongan London pada 28 Julai.

Potret diri itu adalah satu daripada 80 yang dihasilkan beliau sepanjang kerjayanya, dan dilukis pada akhir tahun 1632, apabila pelukis berusia 26 tahun itu sedang memantapkan dirinya di Amsterdam dan memperoleh kejayaan komersial pertamanya.

“Wajah Rembrandt dapat kami kenali pada setiap peringkat kedewasaannya – jauh lebih baik berban-ding mana-mana pelukis lain,” kata George Gordon, pengerusi bersama Lukisan Lama Seluruh Dunia Sotheby’s.

“Kami tahu lukisan ini dicipta dalam tempoh masa yang amat singkat, disebabkan beliau meletakkan latar belakang terlebih dahulu, tetapi apabila beliau menandatanganinya selepas siap, latar belakang masih basah, maka tanda tangan tertera di dalamnya oleh berus beliau.” – AFP