HONG KONG, 16 Jan – Mata wang pound bergelut pada tahap rendah 32-tahun berbanding dolar di Asia hari ini selepas laporan berkata Perdana Menteri Britain Theresa May bersedia untuk memimpin negara keluar daripada Kesatuan Eropah dalam “Brexit.”
Kemerosotan sterling berlaku dengan kerugian di kebanyakan pasaran saham Asia tatkala pelabur menunggu ucapan pelantikan Donald Trump pada Jumaat, setelah berasa kecewa pada kekurangan butir-butir mengenai dasar ekonomi pada persidangan akhbar minggu lalu.
Sejumlah akhbar di UK semalam berkata May rela menarik diri daripada pasaran tunggal itu, kesatuan kastam Eropah dan Mahkamah Keadilan Eropah, demi memperoleh semula kawalan imigresen.
Berita tersebut menyebabkan sterling merosot kepada $1,1986, tahap paling rendahnya sejak ‘krisis’ pada Oktober yang menyebabkannya merosot kepada $1.1841 – satu tahap yang tidak pernah dilihat sejak awal 1985. Unit itu seterusnya mengurangkan beberapa kerugian untuk mencecah $1.20.
“Laporan pada hujung minggu sudah pasti merupakan faktor yang mendorong pound merosot,” kata ahli strategi forex Nomura Yoshitaka Suda. “Pasaran sedang melihat apa yang dilakukan oleh Britain.” Laporan keluar ketika May bersedia untuk menyampaikan satu ucapan esok mengenai strategi kerajaan untuk meninggalkan EU.

PM berhasrat melancarkan rundingan keluar dua tahun apabila beliau mencadangkan proses keluar Artikel 50 pada akhir Mac, walaupun cabaran perundangan masih menunggu untuk diluluskan oleh Mahkamah Tinggi negara.
“Walaupun jika pound berpulih di London, ia kelihatan seolah-olah realiti Brexit masih belum tercapai,” beritahu Sean Callow, ahli strategi senior di Westpac Banking Corp di Sydney, kepada Bloomberg News.
“Adalah sukar untuk mengemukakan kes untuk pound demi mengelak ujian, kemungkinan mencecah tahap rendah pada minggu-minggu akan datang.” – AFP