Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan Bank Baiduri mengumumkan kejayaan cemerlang acara Power Coffee mereka baru-baru ini.
Acara itu meneroka dunia perniagaan warisan yang menarik dan kejayaan berterusan mereka dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat ketika ini.
Pada 6 November lalu, para profesional dari pelbagai sektor berkumpul di Hab Perusahaan Baiduri yang berprestij, Aras 1, Serusop dari jam 2 petang hingga 5 petang.
Acara itu dikendalikan dengan kepakaran oleh Pengarah Bersekutu BR Rela dan Bendahari YEAB, Calvin Kong.
Mereka yang hadir mendapat keistimewaan untuk mendapatkan pandangan daripada seorang penganalisis di Golden Equator Wealth and Capital, Afiqah Malai Hamir, yang mengongsikan pengalaman dan strateginya untuk mengekalkan perniagaan warisan yang berkembang maju.
Acara itu berfungsi sebagai sumber pengetahuan dan platform untuk menjalin hubungan industri yang penting. Peserta balik dengan cerapan praktikal untuk memacu perniagaan warisan mereka dalam pasaran yang kompetitif.
“Perancangan penggantian yang berkesan adalah penting untuk perniagaan warisan.
“Ia memastikan kepimpinan masa depan bersedia untuk menegakkan visi syarikat dan memacu pertumbuhan.
“Ini mengenai menyulam benang warisan dan inovasi ke dalam fabrik perniagaan awda,” kata Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Baiduri, Mohd Isa Liew Mohd Amin Liew.
YEAB dan Bank Baiduri sangat teruja dengan maklum balas dan penglibatan positif daripada para peserta dan komited untuk menyokong komuniti perniagaan warisan.
Acara tersebut menggariskan dedikasi mereka untuk memupuk semangat keusahawanan dan membantu perniagaan dalam mengemudi landskap perniagaan yang berubah-ubah.
Bagi mereka yang tidak dapat hadir, YEAB dan Bank Baiduri merancang untuk berkongsi sorotan dan perkara penting dalam beberapa minggu akan datang.