Pozzuto kongsi memori bersama legenda Argentina

KUALA LUMPUR, 24 DIS – Luis Pablo Pozzuto, yang dilatih pemain bola sepak legenda Argentina Diego Maradona pada 1994, berkongsi kenangannya bersama pemain terkenal itu.

Pemain Argentina berusia 53 tahun itu berkata segalanya bermula ketika Kejuaraan Remaja Dunia FIFA 1979 di Jepun pada September 1994.

“Generasi saya di Argentina membesar dengan lelaki ini (Maradona) dan menyaksikannya bermain dalam Kejuaraan Remaja Dunia FIFA 1979 di Jepun. Saya berumur 11 tahun ketika itu dan kami bangun pukul 3 pagi untuk melihat aksinya di televisyen hitam putih.

“Melihat beliau bermain, kami berangan-angan ingin menjadi sepertinya,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Bekas pemain Kelantan (1997-98) dan Pulau Pinang (2001-03) itu berkata perkenalannya dengan Maradona bermula ketika terlibat dalam pasukan divisyen pertama di Argentina pada 1994.

Pozzuto, yang kini ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer, sebuah kelab terkenal untuk kanak-kanak dari seluruh dunia, berkata Maradona melatihnya pada 1994 ketika dia (Pozzuto) menandatangani kontrak dengan Deportivo Mandiyu di Divisi Primera Argentina, dengan 24 penampilan dan menjaringkan tiga gol.

Club Deportivo Mandiyu, juga dikenali Mandiyu, adalah kelab bola sepak yang berpusat di Corriente.

Legenda Diego Maradona semasa kemuncak kariernya telah membantu ramai pemain sama ada daripada segi kewangan mahupun sokongan emosi, antaranya Pedro Damian Monzon, seorang jurulatih bola sepak Argentina dan bekas pemain pertahanan yang mengalami tekanan perasaan.

“Pedro Monzon, yang bermain di Piala Dunia 1990, pernah mengalami tekanan dan tiada siapa tahu, dan apabila Diego dapat tahu, dia terus ke rumahnya dan membantu dari segi kewangan dan emosi,” katanya.

Pozzuto berkata kali terakhir bertemu Maradona di Malaysia pada 2001.

Pada 1982, Maradona memukau 25,000 penonton di Stadium Merdeka dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Jemputan Selangor XI  dan Boca Juniors. – Bernama