PPB kelolakan demonstrasi masakan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Dalam usaha memberi pendedahan kepada generasi baharu tentang makanan Melayu tradisional yang diwarisi dari zaman ke zaman, Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah mengelolakan Demonstrasi Masakan: Kuih Bom bersempena Pesta Buku Brunei 2020 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Aktiviti tersebut terbukti mendapat sambutan yang cukup hangat daripada pelbagai pihak terutama sekali pengunjung dari kalangan kanak-kanak sekolah yang begitu teruja menyaksikan dan seterusnya turut berkesempatan menyertai dalam proses pembuatan Kuih Bom.

Demonstrasi masakan kuih berkenaan telah dilakukan oleh Pembantu Tenaga Pengajar di PPB, Awang Mohammad Nur Sallehuddin bin Haji Osman.

Ketika ditemui Media Permata, Awang Mohammad Nur Sallehuddin antara lain mengongsikan bahawa antara tujuan pertunjukan masakan berkenaan adalah bagi memperkenalkan dan memberikan peluang kepada kanak-kanak persekolahan dan generasi baharu mengenai cara membuat makanan tradisional Brunei agar dapat diturunkan kepada generasi-generasi yang akan datang.

Di samping aktiviti-aktiviti berkenaan, pihak PPB turut mengadakan jualan berupa makanan dan sebagainya bersempena Pesta Buku Brunei tersebut.

Beliau turut mengongsikan bahawa pada 5 Mac, PPB juga akan mengadakan satu lagi demonstrasi masakan iaitu ‘Roti Canai’ di tempat dan lokasi yang sama pada sebelah pagi dan petang.

Antara pelajar yang menyertai demonstrasi masakan yang dikelolakan oleh PPB.