Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPB memperkasa golongan belia

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Pendekatan kepada pembangunan insan menekankan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual termasuk ilmu sains, teknologi dan keusahawanan dan juga pembudayaan sikap progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi.

    Kualiti ini perlu untuk menjadikan modal insan berminda kelas pertama, tekan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Program Pembangunan Belia Pusat Pembangunan Belia sesi Januari dan Julai 2015 yang telah berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia (PPB), petang tadi.

    Yang Berhormat Pehin berkata, fungsi PPB adalah untuk membangun potensi dan memperkasa golongan belia melalui penggilapan bakat dan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran teknikal dan vokasional di samping mempelajari selok-belok perniagaan dan perusahaan agar para belia mempunyai karier dan menyumbang secara positif kepada kemajuan nasional.

    “Tidak siapa dapat menyangkal bahawa PPB telah menjalankan peranannya. PPB telah melatih hampir 4,000 orang belia dalam pelbagai latihan kemahiran termasuk program jangka pendek mahupun kursus-kursus singkat.

    “Dari segi pembangunan kursus yang ditawarkan, saya menyambut baik usaha PPB mengkaji kehendak pasaran pekerjaan dan industri di negara ini. Begitu juga kerjasama strategik PPB dengan pihak swasta dan industri dalam melaksanakan kursus-kursus singkat umpamanya Kursus Pemandu Jentera Berat, Scaffolding, Belia Berpadi, Fiber To The Home dan Cable Jointer wajar diteruskan dipelbagaikan dan diperkukuhkan demi meningkatkan lagi peluang belia untuk berkecimpung dalam bidang yang mereka minati untuk diceburi,” tekan beliau.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapannya.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapannya.

    Penawaran kursus yang relevan dengan tuntutan serta keperluan semasa negara, tambah beliau, dijangka dapat meningkatkan kemahiran, kelayakan bekerja belia adalah mustahak kepada keunggulan dan kecemerlangan PPB di masa akan datang.

    Yang Berhormat Pehin menjelaskan lagi, satu ciri PPB dalam perjalanannya yang sudah panjang (lebih dua dekad kewujudannya) ini adalah keberkesanannya mengurus inisiatif kerajaan menghulurkan geran mikro di bawah Program Belia Berdikari khususnya kepada pelatih-pelatih yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan di mana hasilnya adalah percambahan perusahaan kecil-kecilan yang dipelopori belia.

    “Tujuh puluh dua orang belia lepasan PPB telah memanfaatkan geran mikro berkenaan dan menubuhkan perusahaan mereka sendiri yang merupakan petanda Brunei berkemahuan dan berdaya saing.

    “Keusahawanan mempunyai fungsi yang sangat penting kepada pembangunan ekonomi kerana ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan bagi diri belia tetapi juga membukakan peluang-peluang pekerjaan kepada belia yang lain,” tambahnya.

    Oleh itu, Yang Berhormat Pehin menyeru supaya lebih ramai lagi belia di negara ini tampil memberanikan diri bagi menerokai bidang keusahawanan yang serba mencabar.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi, PPB akan terus menerus berkembang dan segar bersesuaian dengan keperluan semasa dan yang akan datang supaya tetap relevan untuk mengangkat PPB sebagai Pusat Kecemerlangan Pembangunan Belia.

    Dengan tanggungjawab ke hadapan PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menentukan bidang tugas PPB ke persada yang lebih tinggi antaranya meneliti langkah-langkah ke arah Pusat Kecemerlangan Pembangunan Belia yang dinamik dan inklusif serta mengatur strategi dan menyediakan program pembangunan belia yang holistik serta dapat mempersiapkan belia bagi mengharungi masa depan yang serba mencabar.

    Selain itu, meningkatkan kualiti dan kapasiti tenaga pengajar, membuka peluang yang saksama bagi semua belia yang berkelayakan termasuk yang berkeperluan khas, menawarkan kursus-kursus singkat yang membawa pulangan yang cepat kepada peserta dan memberi kemahiran dalam tempoh yang lebih cepat, menawarkan kursus singkat kepada seluruh spektrum belia dan sebagainya.

    Yang Berhormat Pehin berharap untuk melihat para pelatih lepasan PPB menonjol sebagai profesional atau usahawan yang berjaya dan akan menjadi sumber inspirasi kepada para belia yang akan datang serta pemangkin pencapaian Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda