SANDAKAN, 24 Ogos – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan menjadi daerah pertama di negeri ini melancarkan Rancangan Pengajaran Harian secara dalam talian (e-RPH) secara menyeluruh.
Sehingga kini, sebanyak 31 sekolah menengah dan rendah di daerah ini sudah melaksanakan e-RPH membabitkan 3,955 guru.
Sistem itu dilancarkan hari ini oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tai Tong, antara sekolah yang sudah melaksanakan e-RPH.
Berucap pada majlis itu, Maimunah berkata pelaksanaan e-RPH oleh PPD Sandakan secara menyeluruh menggunakan pelantar Frog Vle sejajar dengan matlamat jabatan itu menggalakkan elemen inovasi di sekolah dan kalangan guru di negeri ini.
Katanya ia sejajar dengan perkembangan teknologi semasa yang memerlukan sesebuah organisasi untuk inovatif dan kretif. Menurutnya antara kelebihan e-RPH adalah ia membolehkan penyemakan RPH lebih mudah, mengurangkan penggunaan kertas, menjimatkan masa guru menulis dan mudah diakses oleh pihak pengurusan.
“Diharapkan 23 PPD lain di negeri ini akan mencontohi usaha dan komitmen yang diambil oleh PPD Sandakan dalam menggunakan e-RPH secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata ada sekolah di daerah lain di negeri ini sudah melaksanakan e-RPH tetapi tidak dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat PPD. Menurutnya penggunaan e-RPH dalam kalangan guru di Sabah masih pada tahap rendah berbanding negeri lain. – Bernama