PPDB, ahli PK kerjasama jaga keamanan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Demi menjaga kepentingan dan keselamatan penduduk agar terjamin daripada sebarang jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa menjalankan kerjasama bersama ahli pengawasan kejiranan (PK) dengan aktif membuat rondaan pencegahan jenayah dan pendekatan muzakarah di beberapa daerah, baru-baru ini.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, pihak PPDB telah menjalankan rondaan cegah jenayah bersama ahli PK Kampung Kapok dan RPN Kampung Meragang, Kampung Tanah Jambu dan Kampung Salar yang disusuli dengan pendekatan ke rumah ketua-ketua kampung.

Hadir sama pada program itu ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Inspektor Mohd Firnasrulillah bin Haji Abdul Ghani bersama keanggotaan balai.

Di Daerah Temburong, beberapa pegawai serta keanggotaan di Daerah Polis Temburong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj telah mengadakan pertemuan dan bermuzakarah bersama penghulu Mukim Bokok dan Mukim Amo.

Dalam agenda perjumpaan itu, beberapa perkara yang menjurus kepada perkongsian permasalahan, statistik serta perancangan bagi menjalankan operasi mencegah jenayah di kawasan berkenaan telah dibincangkan bersama ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.

Manakala di Daerah Tutong pula, saranan, nasihat, perkongsian maklumat merupakan agenda-agenda yang diberigakan kepada ahli-ahli PK Kampung Kiudang Mungkom oleh pihak keanggotaan Balai Polis Lamunin yang diketuai Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Awang Muhd Yusof. Pendekatan yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Padnunok yang diketuai Pemangku Ketua Kampung Kiudang Mungkom, Haji Saifulbahri bin Haji Umarali.

Inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan dalam mengekalkan persekitaran
kampung atau kawasan yang lebih selamat dan bebas jenayah.

Anggota PPDB bersama ahli PK semasa menjalankan rondaan di salah sebuah kawasan baru-baru ini. – Gambar oleh PPDB