Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sebanyak 47 kesalahan melibatkan pelanggaran perintah kuarantin (QO), yang mempunyai kod ungu dan biru, telah dicatatkan hasil operasi dan laporan yang diterima Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dari 14 Ogos lalu hingga hari ini.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 712 kesalahan melibatkan individu yang didapati tidak memakai pelitup muka dan 10 kes melibatkan kesalahan aktiviti berkumpulan turut dicatatkan.
Statistik berkenaan dikongsikan oleh PPDB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang turut menekankan bahawa melalui peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, pihak polis memberikan bantuan sepenuhnya dalam menguatkuasakan akta tersebut seperti menjalankan operasi pemeriksaan dan tindakan kepada individu-individu yang melanggar perintah berkenaan.
Operasi yang dijalankan adalah seperti sekatan-sekatan jalan raya, rondaan pemantauan dan tindakan serta bantuan keanggotaan ke lokasi-lokasi seperti mana yang dikerahkan.
Menurut kenyataan, operasi bertujuan untuk memastikan masyarakat awam akur dan patuh akan arahan yang ditegaskan oleh pihak kerajaan dan pihak polis tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan sebarang tindakan jika didapati ingkar.
Kerjasama orang awam amat diperlukan pada ketika ini dalam sama-sama bertanggungjawab dan menyahut seruan kerajaan bagi mengawal dan menangani penularan wabak COVID-19.