Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan PPDB
TEMBURONG, 22 JAN – Pelbagai produk kosmetik, kecantikan, kesihatan serta makanan dipercayai tidak diisytiharkan berjaya dirampas di Jalan Bokok, Temburong kelmarin.
Rampasan tersebut merupakan hasil pemantauan keanggotaan Detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ke atas sebuah kenderaan yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan laju semasa cuba keluar dari Jalan Rataie, Daerah Temburong.
Peronda balai segera dimaklumkan dan berjaya menemukan kenderaan berkenaan tanpa sebarang pemandu di kawasan salah sebuah perumahan berek.
Menurut kenyataan PPDB, pemeriksaan awal ke atas kenderaan tersebut telah menemukan sejumlah kotak yang mencurigakan tersimpan di bahagian kerusi penumpang belakang.
Kenderaan dan barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal.
Kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.