PPDB suntik kesedaran bantu masyarakat

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 21 FEB – Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) melalui Bahagian Pengakap Perempuan (Sub Unit Keugamaan), hari ini, telah mengadakan Program Berdudun yang bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab kemasyarakatan bagi meringankan beban keluarga yang dikenal pasti daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, anak yatim dan orang kelainan upaya.

Program juga bertujuan untuk menyuntik kesedaran khususnya kepada warga pengakap tentang individu yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat, serta merapatkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara pemimpin-pemimpin pengakap bagi sama-sama sedikit sebanyak meringankan beban individu dan keluarga yang diraikan pada
majlis itu.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa program tersebut ialah Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Pengakap Perempuan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Hajah Norrahmat binti HajiSidin.

Pemangku Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Bahagian Pengakap Perempuan, Dayang Siti Rosmahwardey binti Haji Rosli menjelaskan bahawa program berkebajikan seumpamanya akan dijadikan program tahunan dan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pengakap komited untuk berterusan membantu mereka yang memerlukan.

Pada tahun ini, seramai 21 penerima sumbangan yang telah dikenal pasti dengan sumbangan berupa barangan asasi ditaja oleh Syarikat Perniagaan Malar Setia dan orang-orang persendirian.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya PPNBD, ahli-ahli Majlis Pengakap PPDB, ahli-ahli Majlis Pesuruhjaya Pengakap Daerah PPDB, dan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pengakap.

Gambar ramai ahli-ahli pengakap yang terlibat pada penghujung program. – Gambar serahan PPDB