PPKKI-Yayasan pamer karya di Dubai Expo 2020

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan Yayasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Karya Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-Yayasan) telah  terpilih bagi menyertai Ekspo Antarabangsa Dubai.

PPKKI-Yayasan telah dikenal pasti oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui
Darussalam Enterprise (DARe) sebagai satu badan yang mempunyai produk berpotensi untuk dilibatkan bagi penyertaan negara dalam Ekspo Antarabangsa 2020 yang dihoskan oleh Emiriah Arab Bersatu yang dikenali dengan Dubai Expo 2020.  

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Yayasan, di sini, ekspo itu telah dilancarkan pada 1 Oktober 2021 dan akan berlangsung selama enam bulan, sehingga Mac 2022. 

Ekspo itu sepatutnya diadakan pada Oktober 2020 dan telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Pemilihan untuk menyertai ekspo tersebut merupakan peluang keemasan PPKKI-Yayasan dalam mengembangkan dan mempromosikan kewujudannya sebagai sebuah institusi yang menawarkan pengajian kemahiran ilmu seni Islam dan kaligrafi di samping mempromosikan produk-produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan ke peringkat antarabangsa.  

Sebanyak 19 buah karya yang dihasilkan oleh PPKKI-Yayasan telah dipilih untuk dipamerkan dan dijual semasa ekspo tersebut.

Selain itu, empat buah karya khas dan eksklusif PPKKI-Yayasan dibawa untuk dipamerkan di ruang VIP Pavilion Negara Brunei Darussalam dan akan turut dijual di mana hasil jualan daripada karya khas tersebut akan disumbangkan ke tabung badan-badan amal tertentu.

Empat orang pegawai PPKKI-Yayasan juga terlibat bertugas semasa ekspo untuk memberikan penerangan, pembentangan dan demo penulisan khat kepada setiap
pengunjung.

Sehingga 26 Oktober 2021, seramai 59,315 orang pengunjung telah mengunjungi kotak pameran PPKKI-Yayasan.

Pengunjung menyaksikan pegawai PPKKI-Yayasan menghasilkan seni semasa ekspo di Dubai berkenaan.
Antara karya yang dipamerkan semasa ekspo antarabangsa tersebut.