PPM Sabah terima empat bot peronda

SEMPORNA, 11 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah akan menerima aset keselamatan baharu melibatkan empat bot peronda kelas PZ tahun ini bagi  meningkatkan  kawalan keselamatan di perairan Sabah.

Komandernya, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata aset keselamatan itu akan  ditempatkan  masing-masing dua di Sandakan dan Lahad Datu.

“Tahun 2019 ini kita akan atur gerak aset serta tenaga kerja kita bersama  Kawasan  Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam menangani isu ancaman peringkat antarabangsa melibatkan kumpulan penculikan untuk wang tebusan, serta Abu Sayyaf.

“Pada tahun ini juga kita akan bergerak secara ‘offensive’ dan bukan lagi ‘defensive’ dalam memerangi jenayah rentas sempadan bersama ESSCom di  perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perhimpunan dan pemakaian pangkat pegawai rendah polis di sini hari ini.

Sementara itu Muhamad Pajeri berkata banyak perancangan dilaksanakan pada tahun ini dan antaranya ialah rancangan penubuhan satu pasukan elit iaitu Unit Gempur Marin (Ungerin) bagi melancarkan gerakan ofensive memerangi jenayah rentas sempadan. – Bernama