BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Untuk memberigakan dapatan-dapatan yang telah diungkayahkan oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi menyebarluaskan polisi-polisi dan peraturan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Majlis Pengakap Kebangsaan PPNBD menganjurkan kursus Prosedur Kewangan dan Perakaunan.
Enam bengkel dijadualkan dari Januari hingga Jun depan dengan yang pertama telah diadakan pada 31 Januari lalu yang disertai oleh ahli-ahli Majlis Persatuan Daerah dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong serta pesuruhjaya-pesuruhjaya dan penolong pesuruhjaya daerah.
Bengkel sehari berkenaan telah didahului dengan kata alu-aluan daripada Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Matussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba selaku pengerusi Jawatankuasa Pemantau dan Pelaksana Rancangan Strategik PPNBD 2014-2024.
Ia telah dikendalikan oleh Pengiran Haji Alit bin Pengiran Haji Damit selaku pelaksana Bahagian Kewangan AJK Pemantau dan Pelaksana Rancangan Strategik PPNBD 2014-2024 dan bendahari agung PPNBD.





























