PPNBD anjur majlis penghargaan media

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), kelmarin, telah menganjurkan majlis penghargaan untuk media tempatan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media termasuk media cetak dan elektronik serta media sosial atas bantuan mereka dalam membuat liputan mengenai acara dan aktiviti pengakap.

Antara jemputan yang hadir pada majlis di Hotel Antarabangsa Rizqun tersebut ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan selaku wakil pemangku pengarah RTB, pemangku pengarah Jabatan Belia dan Sukan dan pemangku pengarah Jabatan Penerangan.

Presiden PPNBD, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa media massa memainkan peranan penting bagi PPNBD terutama dalam menyebarkan program pengakap kepada masyarakat seperti jambori, perkhemahan di peringkat daerah dan kebangsaan serta seminar dan bengkel pengakap.

Penganjuran majlis adalah aspirasi PPNBD kepada pengamal media yang terlibat yang membantu dalam menyebarkan dan mempromosikan gerakan pengakap di negara ini.

Secara keseluruhannya, tambah beliau, media adalah antara nadi utama kepada PPNBD dalam usaha untuk terus diperkenal dan dapat bertahan lebih dari 85 tahun membuatkan media berhak mendapat penghargaan atas sokongan mereka yang tidak berkesudahan.

Tambah beliau, tanpa media, di mana PPNBD akan berada, lebih-lebih lagi dengan media elektronik terkini yang canggih yang menyalurkan maklumat dengan cekap dan mudah untuk perkongsian.

Majlis kemudian menyaksikan tayangan klip video mengenai perkembangan dan perjalanan persekutuan tersebut bagi menandakan ulang tahun ke-100 sebelum diikuti dengan penyampaian plak penghargaan kepada wakil media yang dijemput termasuk agensi media kerajaan dan swasta termasuk akhbar di bawah Brunei Press.

Majlis penghargaan berkenaan juga bertujuan untuk menanamkan kerjasama antara PPNBD dan para media di negara ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah timbalan presiden, setiausaha agung, ketua majlis persatuan pengakap daerah, ketua pesuruhjaya pengakap, ahli Majlis Pengakap Negara, ahli Lembaga Penasihat Yayasan Pengakap, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pengakap Kebangsaan, ahli Jawatankuasa Pentadbiran Yayasan Pengakap, dan ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Dekoratif PPNBD.

Antara yang hadir di majlis penghargaan tersebut.