PPNBD anjur Majlis Ramah Mesra

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja memberi keceriaan dan peluang kepada ahli-ahli keluarga yang dekat atau jauh untuk bertemu dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan tetapi ia juga memberikan peluang kepada sahabat handai mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Ramah Mesra di Hari Raya Aidilfitri bagi merapatkan hubungan ahli-ahli pengakap antara keempat-empat daerah yang diadakan di Dewan Serba Guna Pengakap, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD di Jalan Gadong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini, majlis berkenaan dijalankan secara gabungan antara kesemua empat buah daerah iaitu Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Persatuan Pengakap Daerah Belait, Persatuan Pengakap Daerah Temburong dan Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat PPNBD.

Majlis yang dihadiri lebih 200 warga pengakap seluruh negara itu dihadiri oleh Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba; naib-naib yang dipertua; Setiausaha Agung, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad; Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad.

Haji Matusin berkata majlis ramah mesra itu merupakan acara tahunan kepada PPNBD di samping mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan menjalin kemesraan antara ahli-ahli pengakap di seluruh negara.

Di kesempatan itu, beliau juga mengharapkan agar para pemimpin pengakap dan ahli-ahli pengakap akan mempertingkatkan, bersemangat dan berdaya usaha serta bersedia menyertai kegiatan-kegiatan pengakap baik dalam membantu kegiatan kemasyarakatan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai juadah menyelerakan mengikut daerah masing-masing yang disediakan di pondok-pondok khas.

Antara ahli pengakap yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Gambar oleh PPNBD