PPNBD bersih pantai Kg Sg Liang

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 14 JUN – Lebih 40 orang daripada Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah bergotong-royong membersihkan pesisir pantai Kampung Sungai Liang dalam program dinamakan Earth Tribe Tide Turner Plastic Challenge, hari ini.

Lebih 40 beg sampah bersamaan sekitar 30kg plastik dan barangan terbuang telah dikumpulkan dalam kempen berkenaan.

Kempen kebersihan yang diadakan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia, disambut pada setiap 5 Jun, itu telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang diiringi oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Awang Junaidi bin Haji Hussin.

Turut hadir ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pembantu pesuruhjaya pengakap serta para pemimpin pengakap dan pembantu pemimpin pengakap yang berganding bahu membersihkan pantai.

Haji Awang Badar dalam ucapannya pada permulaan kempen berkata, kempen bermatlamat untuk menyemai rasa cintakan alam sekitar dalam memastikan kebersihannya dikekalkan selain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam mendidik terutamanya generasi muda mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar supaya terus dihargai oleh generasi masa
depan.

Beliau seterusnya menyatakan, kehadiran para peserta pada kempen itu bukan sahaja bertujuan untuk membantu membersihkan pantai-pantai di kampung berkenaan bagi keselamatan penduduk malah juga menyediakan platform untuk mendidik mengenai pelbagai cara yang boleh dilaksanakan dalam memastikan kebersihan dikekalkan.

Sebelum kempen kebersihan dimulakan, kumpulan berkenaan juga menanam beberapa anak pokok di sepanjang pesisir pantai yang bukan sahaja bertujuan untuk mencantikkan
lagi persekitaran malah sebagai peringatan bagi aktiviti berkenaan dan usaha yang telah dilakukan.

Kempen berkenaan merupakan salah satu daripada tiga aktiviti yang dijalankan oleh PPNBD dengan dua yang lain ialah Champions for Nature Challenge iaitu penanaman pokok di Kampung Sungai Mau pada awal bulan ini manakala itu, Scouts Go Solar pula adalah satu lagi aktiviti bermanfaat bagi masyarakat yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Gambar ramai para peserta pada penghujung kempen kebersihan di pantai Kampung Sungai Liang, kelmarin.
Lebih 40 beg sampah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen kebersihan tersebut.