PPNBD jalani sesi penilaian GSAT

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menjalani sesi penilaian audit Global Support Assessment Tool (GSAT) yang dikendalikan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) secara maya pada 3 hingga 5 Disember lalu.

Penilaian tersebut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pengarah Serantau Biro Pengakap Sedunia Rantau Asia Pasifik, J R Pangilinan; Pengarah Kewangan dan Sokongan Global, Biro Pengakap Sedunia Rantau Asia Pasifik, S Prasanna Shrivastava; Timbalan Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Haji Hassan, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pemimpin pengakap yang terlibat.

Kenyataan menyatakan, sesi penilaian itu merangkumi 10 dimensi iaitu Keperluan Institusi WOSM; Rangka Kerja Tadbir Urus (Perlembagaan, Perhimpunan Agung dan Lembaga Negara); Rangka Kerja Strategik; Pengurusan Integriti; Komunikasi, Advokasi dan Imej Awam; Pengakap Dewasa; Peruntukan Sumber dan Kawalan Kewangan; Program Belia; Potensi Pertumbuhan Keahlian dan Penambahbaikan Berterusan.

Turut sama membantu ialah ahli Pasukan Sokongan Sukarelawan WOSM, Peter J Blatch OAM yang bertindak sebagai konsultan PPNBD untuk menjawab penilaian yang dikendalikan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya dari Persatuan Pengakap Hong Kong, Peter NG selaku penilai GSAT.

GSAT adalah standard kualiti yang dimiliki oleh WOSM yang menilai pematuhan pergerakan pengakap terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam tadbir urus baik dan kualiti kepengakapan.

Antara lain tujuan Piawaian GSAT ini adalah untuk menjadi rujukan amalan terbaik untuk pergerakan pengakap khususnya PPNBD, dan penerapannya akan membolehkan PPNBD menilai kekuatan dan kelemahan.

Hasilnya adalah untuk meningkatkan akauntabiliti dan integriti PPNBD kepada pihak berkepentingan.

Antara yang ikut serta menjalani sesi penilaian audit GSAT yang diadakan secara maya itu. – Gambar serahan PPNBD.