PPNBD lancar semula majalah Warra

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Sebagai usaha untuk memberigakan lagi kegiatan-kegiatan pengakap dalam kalangan ahli-ahli dan orang ramai, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah melancarkan penerbitan semula majalah Warra yang berlangsung di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat PPNBD, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran majalah berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Awang Junaidi bin Haji Hussin, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan penolong-penolong pesuruhjaya daerah.

Pada majlis berkenaan, Haji Awang Badar turut menyempurnakan penyerahan majalah berkenaan kepada pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah untuk diedarkan di daerah masing-masing.

Dari segi bahasa, Warra bermaksud cerita-cerita atau berita yang lama atau yang telah lalu. Majalah itu akan dikeluarkan mengikut isu pada setiap empat bulan, tiga kali setahun diterbitkan. Ia mengandungi maklumat-maklumat berkaitan dengan aktiviti dan maklumat kepengakapan di dalam dan luar negara.

Majalah itu telah lama tidak diterbitkan dan diharapkan dengan pelancaran semula majalah ini akan lebih memberigakan lagi kegiatan-kegiatan pengakap dalam kalangan ahli-ahli dan juga orang ramai.

Di samping menjadi sebagai platform untuk memberigakan mengenai aktiviti pengakap, ia juga akan menjadi platform bagi persatuan-persatuan pengakap daerah bagi menyumbangkan berita-berita aktiviti pengakap di daerah masing-masing.

Haji Awang Badar menyerahkan majalah Warra kepada pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah untuk diedarkan di daerah masing-masing.