BANGKOK, 10 JUN – Ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menghadiri dan mengikuti Bengkel Strategi dan Pengurusan Jenama peringkat Rantau Asia Pasifik yang berlangsung di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Bengkel berkenaan dihoskan oleh Pertubuhan Pengakap Kebangsaan Thailand dengan kerjasama Pergerakan Pengakap Sedunia – Rantau Asia Pasifik.
Bengkel yang bermula dari 4 hingga 7 Jun itu disertai oleh 42 peserta daripada 12 organisasi pengakap kebangsaan (NSO) di seluruh Rantau Asia Pasifik dengan tujuan untuk membangunkan dan meningkatkan strategi pengurusan jenama untuk NSO dalam rantau ini.
Para peserta yang terlibat dalam siri sesi intensif berpeluang untuk berkongsi amalan terbaik dan kejayaan dari pelbagai NSO.
Antara pengisian utama bengkel ini termasuk ‘Perkongsian Amalan Terbaik’, ‘Memahami Asas Penjenamaan’ dan ‘Penjenamaan dan Tanda Dagangan Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM)’.
Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat, Awang Muhammad Arman Jahran Abdullah Besi, yang mewakili PPNBD dalam bengkel itu meluahkan perasaan gembira dan mengongsikan bahawa bengkel tersebut telah memberikan alat dan pandangan yang tidak ternilai untuk mengukuhkan usaha penjenamaan Pergerakan Pengakap.
“Pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi akan membantu PPNBD dalam meningkatkan jenama Pergerakan Pengakap Brunei dengan lebih luas di Rantau Asia Pasifik,” tambahnya.
