BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menjalani sesi penilaian audit Global Support Assessment Tool (GSAT) yang dikendalikan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) pada 3 hingga 5 Disember yang lalu.
Hadir semasa majlis penutup penilaian GSAT pada 11 Disember ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Pesuruhjaya Antarabangsa yang juga selaku Penyelaras GSAT PPNBD, Haji Abdul Manan bin Haji Abdul Latif dan Haji Metassim bin Duraman.
Turut hadir ialah Pengarah Serantau World Scout Bureau Asia Pacific, J.R Pangilinan; Pengarah Kewangan & Sokongan Global World Scout Bureau Asia Pacific Region, S.Prasanna Shrivastava; ahli Volunteer Support Team WOSM, Peter J Blatch OAM yang bertindak sebagai konsultan PPNBD bagi menjawab penilaian yang dikendalikan dan juga timbalan ketua pesuruhjaya pengakap Hong Kong Scout Association selaku penilai GSAT, Jason Ng; Penolong Kanan Organizational Development daripada World Scout Bureau Asia‑Pacific Support Centre, Christeen Lauron dan pegawai eksekutif pengakap PPNBD selaku urus setia penilaian GSAT, Dayang Liyana binti Haji Salleh dan peneraju-peneraju dimensi.
Pada sesi penutup penilaian audit GSAT, PPNBD berjaya mencapai secara keseluruhan markah melebihi 70 peratus dalam penilaian GSAT-WOSM.
Pencapaian ini adalah sangat membanggakan bagi PPNBD kerana dapat mematuhi dan mengikuti piawaian WOSM dalam dimensi-dimensi yang diaudit.
PPNBD akan mengambil tindakan berdasarkan saranan-saranan daripada Penilai GSAT-WOSM bagi dimensi yang memerlukan pembaikan dengan merangka pelan tindakan bagi mengatasi kekurangan yang terdapat dalam dimensi berkenaan.
GSAT diharap akan menjadi pengukur sukatan PPNBD dalam melaksanakan hala-tuju Pelan Strategik PPNBD 2014-2024 dan juga urus tadbir yang baik melalui pelaksanaan amalan-amalan terbaik bagi mencapai hasrat Pelan Strategik berkenaan.
Selain itu juga, kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh PPNBD juga disejajarkan dengan keperluan Pergerakan Pengakap Sedunia menjadikannya selaras dan teratur.