PPNBD sertai Forum Belia Pengakap Dunia ke-14

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah menyertai Forum Belia Pengakap Dunia ke-14 anjuran Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia yang diadakan dalam talian.

Forum yang berlangsung selama lima hari dari 18 hingga 22 Ogos lalu itu disertai oleh seramai 746 orang perwakilan pengakap daripada 163 buah persatuan pengakap seluruh dunia. Manakala itu, PPNBD telah diwakili oleh enam orang ahli pengakap dengan diketuai oleh Sheikh Ahmad Wa’ez bin Haji Sheikh Aubid.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, forum yang dirasmikan oleh Pengerusi Forum Belia Pengakap Peringkat Dunia ke-14, Diana Carillio itu membawa tema Bridging The World.

Tema berkenaan dipilih bagi menyediakan rangka simbolik pergerakan pengakap dunia dalam mengatasi cabaran pada generasi masa kini.

Kenyataan menyatakan, antara tujuan forum adalah untuk merumuskan idea atau cadangan dalam menambah baik lagi resolusi yang mengetengahkan belia dalam pelbagai aspek disamping ingin membuat pembangunan yang lestari bagi golongan belia.

Resolusi berkenaan dibawa ke dalam persidangan pengakap dunia yang diadakan pada 25 hingga 29 Ogos lalu.

Menurut kenyataan, forum berkenaan telah dibahagikan kepada beberapa program yang menarik seperti sesi pleno, bengkel-bengkel pembinaan kapasiti, aktiviti rangkaian dan juga aktiviti sosial. Inisiatif berkenaan diambil bagi memberikan peluang kepada semua peserta untuk membina pengalaman sebanyak yang mungkin.

Ahli-ahli PPNBD yang mewakili Negara Brunei Darussalam pada forum berkenaan. – Gambar serahan PPNBD