PPNBD sertai jambori Asia Pasifik ke-31

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Seramai 15 orang ahli kontinjen Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah berlepas untuk menyertai Jambori Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-31 anjuran Biro Pengakap Sedunia, Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Mongolia yang bermula 27 Julai hingga 2 Ogos di Nairamdal International Children’s Center, Ulaanbaatar, Mongolia.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah diadakan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, di mana ia disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali kepada Ketua Kontinjen PPNBD dan Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip.

Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Paduka Haji Awang Abdul Hapidz, Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad dan Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Dayang Siti Fatimah binti Haji Ismail serta ahli keluarga peserta jambori.

Bagi penyertaan dalam jambori itu, kontinjen PPNBD diwakili oleh empat orang pemimpin pengakap dan 11 orang ahli Pengakap Muda dan Pengakap Remaja daripada PPNBD dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

Haji Awang Badar (kanan) menyerahkan bendera negara kepada Awang Abdul Manan yang mengetuai kontinjen PPNBD ke Mongolia.
Haji Awang Badar (kanan) menyerahkan bendera negara kepada Awang Abdul Manan yang mengetuai kontinjen PPNBD ke Mongolia.

Jambori selama tujuh hari itu membawa tema ‘Go Nomad’ di mana ia menyediakan pelbagai kegiatan yang bercorak kemahiran dan cabaran yang dirancang untuk mencabar daya tahan fizikal dan mental peserta.

Antara aktiviti yang akan disertai oleh setiap peserta termasuk kegiatan cabaran pengembaraan di darat, kraf, kesenian, perkampungan pembangunan global, pertukaran kebudayaan, pertalian persahabatan, lawatan sambil belajar serta pemuliharaan alam sekitar.

Jambori itu nanti, dijangka disertai oleh lebih 5,000 orang peserta dari 32 buah negara dan dalam penyertaannya, peserta kontinjen PPNBD akan mempersembahkan tarian tradisional dan juga menunjukkan kuih-muih tradisional Brunei.