PPNBD sertai Persidangan Pengakap Sedunia ke-42

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah menyertai Persidangan Pengakap Sedunia ke-42 anjuran Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang diadakan secara dalam talian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, 20 orang ahli yang terdiri daripada ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, Majlis Pesuruhjaya Kebangsaan dan Sekratriat Pengakap Kelana Kebangsaan menyertai forum yang berlangsung dari 25 hingga 29 Ogos lalu itu.
Perwakilan PPNBD itu diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Persidangan berkenaan juga dihadiri oleh 2,300 orang perwakilan pengakap dari 170 buah organisasi pengakap seluruh dunia secara dalam talian.

Kenyataan menyatakan, persidangan membawa tema Bridging The World, yang diangkat bagi menyediakan rangka simbolik pergerakan pengakap dunia dalam mengatasi cabaran pada generasi masa kini.

Objektif persidangan adalah untuk merumuskan idea atau cadangan dalam menambah baik lagi resolusi yang mengetengahkan belia-belia dalam pelbagai aspek, isu-isu alam sekitar, pemilihan dan pengundian ahli-ahli jawatankuasa Pengakap Sedunia yang baharu dan pemilihan tuan rumah bagi penganjuran Persidangan Pengakap Sedunia, Jambori Pengakap Sedunia dan Moot Sedunia.

Semasa sesi pemilihan untuk menjadi tuan rumah penganjuran acara-acara pengakap, ahli-ahli delegasi telah memilih Persekutuan Pengakap Mesir bagi menghoskan Persidangan Pengakap Sedunia ke-43, Pertubuhan Pengakap Kebangsaan Portugal menghoskan Moot Sedunia ke-17 pada 2025 manakala itu, Polish National Scout Organization telah terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Jambori Pengakap Sedunia ke-26 pada 2027.

Menurut PPNBD, persidangan selama lima hari itu dibahagikan kepada beberapa program yang menarik seperti sesi pleno, bengkel-bengkel pembinaan kapasiti, aktiviti rangkaian dan juga aktiviti sosial.

Ahli-ahli PPNBD yang hadir menyertai Persidangan Pengakap Sedunia ke-42 secara dalam talian, baru-baru ini. – Gambar serahan PPNBD