PPNBN sahut seruan beri khidmat sukarelawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan menyahut panggilan bantuan sukarelawan dalam sama-sama menangani pandemik COVID-19 di negara ini dengan mengerahkan kumpulan rintis ahli-ahli orang dewasa dalam berpengakap (AIS) bagi melapor diri seterusnya menilai skop kerja.

Kumpulan berkenaan diketuai oleh Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan, Skip Haji Janaidi bin Haji Gunong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, misi khidmat sukarelawan itu bertujuan untuk memberi perkhidmatan secara langsung dan bantuan bagi meningkatkan kesihatan, memastikan keselamatan orang ramai dan mendokong keperluan-keperluan asas untuk memulihkan semangat bagi orang-orang yang terkesan.

Pelbagai bantuan telah diberikan daripada bantuan yang spesifik tetapi terhad sepertimana yang telah diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, pada awalnya, terma-terma rujukan kerja adalah untuk membantu di meja-meja flu di klinik-klinik dan hospital tetapi telah diubah kepada memberi khidmat bantu di Pusat Pro-mosi Kesihatan bagi menerima dan mengagihkan barang-barang sumbangan, memandangkan kemahiran organisasi pihak pengakap.

Dalam 13 hari berkhidmat, kekuatan pasukan sukarelawan pengakap yang pada awalnya berjumlah sembilan orang telah bertambah kepada 30 orang ahli AIS di mana 27 orang ahli bertugas secara bergilir di Pusat Promosi Kesihatan dan tiga orang bertugas di Pusat Operasi Pusat Bahagia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi mewakili persekutuan.

Sepanjang perkhidmatan berkenaan, tambah kenyataan, telah memberi banyak pengalaman sangat berharga yang tidak akan didapati dalam keadaan dalam bilik kelas mahupun dalam keadaan biasa di mana ahli-ahli pasukan berjaya membisaikan lagi sistem Bin Card dengan menggunakan kaedah 1 to 1 serta bekerjasama bukan saja sesama ahli yang lain tetapi jua bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan lain dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Kenyataan menekankan, sukarelawan-sukarelawan PPNBD sentiasa siap sedia bagi membantu pada bila-bila masa, bukan sahaja semasa wabak COVID-19 ini. Ini adalah komitmen mereka kepada Negara Brunei Darussalam serta rakyat dan penduduknya.

ATAS & BAWAH: Antara aktiviti kesukarelawanan yang dijalankan oleh sukeralawan PPNBD semasa pandemik COVID-19 di Brunei. – Gambar serahan PPNBD